Pelajar KOSASS Sertai Program Tour A’Culture Di Makassar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar KOSASS sertai program Tour A’Culture di Makassar

Pelajar KOSASS sertai program Tour A’Culture di Makassar

Oleh: Nurhaziqah Hamid


MAKASSAR (Indonesia), 10 Feb – Seramai 19 pelajar dan tiga staf Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program Tour A’ Culture Universitas Hasanuddin (UNHAS) di Makassar, Indonesia bertujuan menimba pengalaman dan mempelajari silang budaya baharu.

Program selama dua minggu itu bermula pada 28 Januari lalu.

Pengarah program, Amirul Afif Hamdan berkata mereka turut dibawa oleh wakil pelajar Fakultas Kehutanan UNHAS melawat sekitar universiti tersebut dan berkesempatan mempelajari Tarian Paduppa, tarian daripada etnik Bugis-Makassar di bawah kendalian Fakultas Kehutanan.

“Tarian itu dimainkan ketika majlis-majlis keraian seperti majlis perkahwinan dan menyambut tetamu. Ciri-ciri budaya Makassar ditonjolkan melalui pakaian serta gerak-geri tarian,” katanya. 

 

Anggota delegasi turut mengadakan program amal di Panti Asuhan Muhtadina yang menempatkan anak-anak yatim dan memberi sumbangan kepada mereka.

“Pengalaman yang paling berharga sepanjang berada di Makassar ialah pergi ke Toraja dengan menaiki bas. Perjalanan selama sembilan jam itu sangat berbaloi kerana Toraja merupakan satu tempat yang sangat unik dengan adatnya,” katanya.

 

Pelajar KOSASS UPM turut pergi ke Hutan Pendidikan UNHAS selama tiga hari dua malam dengan mengadakan aktiviti, antaranya merentasi hutan simpanan itu.

Mereka juga dibawa ke Monumen Mandala Pembebasan Irian Mandala, monumen yang ditubuhkan untuk memperingati perjuangan rakyat Indonesia merampas kembali Irian Barat (Papua) dari jajahan Belanda. Monumen empat tingkat di Kota Makassar itu berketinggian 75 meter.

Pelajar KOSASS UPM juga dibawa ke lokasi bersejarah Fort Rotterdam atau Benteng Ujung Padang, sebuah benteng peninggalan Kerajaan Gowa-Tallo. Delegasi juga berpeluang ke PT. Maruki Internasional Indonesia, satu perusahan menghasilkan tempat abu jenazah masyarakat Jepun.

Delegasi turut dibawa ke Negeri di Atas Awan, To’Tombi serta tarikan utama pelancong di Toraja ialah gua-gua yang menempatkan mayat-mayat etnik yang diawet.

 

Pelajar Bacelor Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM, Nur Farah Ain Kamshul, 22, berkata beliau gembira menyertai program itu kerana bukan sahaja dapat mempelajari adat masyarakat berkenaan tetapi juga dapat memperkenalkan UPM di luar negara, serta menambah kenalan di kalangan pelajar UNHAS.

Katanya, pengalaman yang tidak akan dilupakan ialah melihat sendiri adat Toraja setelah berlakunya kematian yang masih diamalkan sehingga sekarang. “Melihat tengkorak  tanpa ada bau yang tidak menyenangkan membuatkan saya teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang adat mereka yang unik ini.”

Rakannya, Mohd Ikhwan Abu Hassan, 29, berkata walaupun sudah beberapa kali ke Indonesia, tetapi setiap negeri di Indonesia ada perbezaan dan keunikannya tersendiri. “Paling saya teruja ialah melawat peninggalan sejarah kerana bangunannya masih utuh walau telah dibuai usia,” katanya. - UPM

 

 

Tarikh Input: 20/03/2019 | Kemaskini: 20/03/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563455500