Pelajar Kejuruteraan Terbaik Mengimpikan Pemilikan Kedai Kopi | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Pelajar kejuruteraan terbaik mengimpikan pemilikan kedai kopi

Pelajar kejuruteraan terbaik mengimpikan pemilikan kedai kopi

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 8 Mei (UPM) -  Ketika masih kanak-kanak, impiannya hanyalah untuk memilki sebuah kedai kopi berhampiran rumahnya di Pulau Pinang tetapi kini beliau berazam menjadi seorang jurutera kimia sepenuh masa dengan matlamat untuk menyelesaikan isu tenaga masakini.

Saw Ting Yik, 23, yang mengharumkan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan memenangi Pingat Emas  sebagai pelajar tahun akhir  kejuruteraan terbaik daripada Institut Jurutera Malaysia (IEM) akan menamatkan pengajian kejuruteraan kimianya pada Julai dan bergraduat pada Oktober tahun ini.

Beliau adalah salah seorang daripada dua pelajar tahun akhir kejuruteraan yang menerima anugerah Emas IEM di satu majlis jamuan pada 20 April lalu. Seorang lagi penerima adalah pelajar wanita daripada UNIMAS.

Mereka dipilih daripada kalangan semua pelajar tahun akhir kejuruteraan dari institusi pengajian tinggi awam Malaysia berdasarkan prestasi akademik dan kegiatan ko-korikulum.

Ting Yik telah memperoleh CGPA (purata nilai gred kumulatif) 3.934 dan beliau adalah presiden persatuan pelajar-pelajar kejuruteraan kimia UPM (ChESS) pada 2011 dan telah memenangi banyak hadiah sewaktu pengajiannya.   

 Ting Yik berkata dia diterima belajar di Universiti Cambridge untuk pengajian Ph.D dalam kejuruteraan kimia dan kini sedang mencari biasiswa untuk membolehkannya ke London pada Oktober ini bagi mencapai impiannya.

“Jika saya tidak mendapat biasiswa, saya perlu bekerja terlebih dulu,” katanya.

 

Anak lelaki tunggal seorang jurugambar yang juga pemilik studio gambar di Bukit Jambul Pulau Pinang, Ting Yik berkata beliau sering kali membantu bapanya di kedai itu dan pada ketika itu beliau hanya mahu memiliki sebuah kedai kopi.

Tetapi setelah tamat sekolah menengah di Sekolah Tinggi Chung Ling, beliau mendaftar untuk matrikulasi dan memilih kejuruteraan kimia di Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Fakulti Kejuruteraan UPM.

Ibu beliau, seorang warga Taiwan dan suri rumah manakala adik perempuannya adalah pelajar tahun satu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengikuti pengajian idamannya iaitu antropologi dan sosiologi.

“Tentunya saya mahu menjadi seorang jurutera untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan mencari jawapan kepada masalah tenaga memandangkan kita akan kehabisan minyak dan gas dalam masa 20 hingga 30 tahun akan datang. Jawapannya tentulah tenaga hijau,” katanya.

Ting Yik yang juga naib setiausaha PEMAJU pada 2010/2011 telah memenangi hadiah pertama dalam pertandingan berpidato sempena “Persidangan Belia:Air! 2011”  dianjurkan bersama oleh Coca-Cola, Malaysia Nature Society dan UPM untuk membantu menimbulkan kesedaran terhadap krisis air global.

Beliau diundang sebagai ahli panel untuk forum diadakan ketika itu kerana memenangi pertandingan berkenaan.

Beliau juga memenangi hadiah naib johan pertama dalam Pertandingan Essei Accenture Asia Pacific Oil & Gas Forum 2012, dan menerima hadiah tunai RM1000. Essei yang terpilih itu disiarkan dalam makalah keluaran ke-13 Malaysian Society for Engineering & Technology (MySET).

Di samping itu, beliau juga mengambil bahagian sebagai satu-satunya pelajar kejuruteraan kimia dalam sekumpulan jurutera mekanikal untuk mewakili UPM dalam Shell Eco-Marathon Asia 2011. Beliau memberi tumpuan kepada pembangunan enjin dan membantu membina sebuah kenderaan prototaip ethanol yang mampu memecut 190 km/L.

Penyelia beliau, Prof Luqman Chuah Abdullah yang gembira dan bangga dengan prestasi Ting Yik, berkata beliau mendapati pelajar beliau itu cekap dalam pengurusan masa.

“Beliau seorang pemimpin yang aktif yang mampu menggalakkan ahli-ahli ChESS untuk melaksanakan seberapa banyak projek tetapi masih berupaya mengekalkan pencapaian akademiknya,” kata Prof Lugman.

Prof Luqman juga mendapati pelajar beliau itu pintar, menggunakan apa dipelajari daripada rekaan projek tahun akhirnya untuk diterima sebagai anggota bersekutu Institute of Chartered Engineers (ICE), UK.

Untuk lulus ijazah sebagai jurutera kimia, pelajar-pelajar perlu menyiapkan satu projek penyelidikan tetapi mereka dikehendaki merangka satu projek rekaan loji untuk menjadi anggota ICE.

Projek rekaan loji beliau adalah mengenai pengitaran semula tayar untuk tujuan komersial, satu ilham lahir daripada latihan beliau dengan syarikat multinasional Perancis, Technip.

Bagi menamatkan pengajian tahun akhirnya, Ting Yik kini sedang bekerjasama dengan seorang daripada pensyarahnya berkaitan teknologi nano untuk pengeluaran tiub-tiub nano karbon, untuk memperolehi karbon dioksida dari atmosfera dan tidak melalui beberapa proses kimia konvensional. Tiub nano karbon banyak digunakan dalam industri, seperti telefon bimbit.

‘Kemungkinan saya akan bekerja dengan Technip dan cuba mendapatkan biasiswa dari mereka,” katanya. – UPM.

kgo/agn/kam    


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563473157