| Universiti Putra Malaysia

Mrs Malaysia Kebaya terima Master

Oleh Nurul Amiraa Mohamed Rafic

 

SERDANG, 29 Okt – “Demi mencabar diri sebagai satu-satunya ahli keluarga yang mampu menggenggam  ijazah master, saya harungi perjalanan pengajian seiring cita-cita saya,” kata Huda Saber Abu Bakr Saleh, peragawan  berasal dari Ampang, Selangor.

 

Hasil usaha dan tekadnya itu, Huda Saber, 29, hari ini menerima Ijazah Sarjana Sains Mikrobiologi Perubatan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42 di sini.

 

“Suasana kehidupan pengajian master saya memang berbeza, lebih-lebih lagi kerana saya  bergiat aktif semula dalam bidang peragaan setelah hampir sembilan tahun meninggalkan kerjaya tersebut,” katanya.

 

Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu berkata, antara pencapaian terbaik beliau termasuklah mendapat gelaran Miss and Mrs Malaysia Kebaya 2017 (Best Talent Winner) dan yang terkini,  Miss Personality (PWM) 2018.

 

“Pada mulanya tidak pernah menyangka mampu cemerlang pada tahap setinggi ini terutama dalam bidang pendidikan dan kerjaya kerana peragaan bukanlah minat utama sejak kecil. Minat hanya mula timbul sedikit demi sedikit apabila melihat ibu aktif dalam bidang seni kecantikan sejak saya kecil,” katanya.

 

Menurut Huda, beliau bersyukur dan gembira kerana dapat menamatkan pengajian master dalam tempoh masanya (on time) walaupun telah berkahwin pada 2016 sewaktu semester kedua  pengajian.

   

Katanya, sepanjang pengajian di UPM, beliau sentiasa mengutamakan pelajaran melebihi kariernya demi memastikan impian untuk berjaya dalam akademik tercapai.

 

Huda yang digelar ‘beauty with brain’ oleh rakan-rakan turut aktif dalam bidang seni tari sehingga sekarang. Beliau berhasrat menyambung pengajian peringkat doktor falsafah tahun depan dalam bidang sama. - UPM

SXETHA2~