Menteri KPT Lancar Program Baharu, 2u2i Sempena Hari Terbuka Fakulti Pertanian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Menteri KPT lancar program baharu, 2u2i sempena Hari Terbuka Fakulti Pertanian

Menteri KPT lancar program baharu, 2u2i sempena Hari Terbuka Fakulti Pertanian

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Noor Azreen Awang

SERDANG, 20 Mac – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh melancarkan program baharu, Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), dua tahun universiti, dua tahun industri (2u2i) pada Majlis Hari Terbuka Fakulti Pertanian (FP), UPM.

Dato’ Seri Idris Jusoh berkata FP, UPM memainkan peranan untuk melahirkan graduan bidang pertanian ke arah meningkatkan teknologi pertanian dan kualiti hidup masyarakat tani di negara ini. 

”Ia merupakan institusi ulung yang menawarkan program pengajian dengan kualiti pembelajaran yang unggul di peringkat ijazah dan pasca siswazah dalam bidang pertanian.

”Pembentukan program BSPP adalah selaras dengan keperluan tenaga manusia dalam industri kelapa sawit yang merupakan salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menjadi penyumbang penting terhadap ekonomi negara. 

”Peranan yang dimainkan oleh FP bukan sahaja untuk mendidik anak-anak menjadi graduan pertanian yang berjaya tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjamin sekuriti makanan kepada rakyat Malaysia bahawa bekalan makanan di negara kita sentiasa mencukupi,” katanya.

Program baharu itu adalah tambahan kepada lima program pengajian sedia ada di peringkat Bacelor yang ditawarkan oleh Fakulti Pertanian, iaitu  B.S.Pertanian, B.S, Hortikultur, B.S. Perniagaantani, B. Pertanian (Akuakultur)  dan B. Pertanian (Sains Ternakan).

Penawaran program itu dibuat berdasarkan permintaan sektor perladangan yang memerlukan ramai eksekutif perladangan untuk menggantikan staf yang bersara atau berhenti, serta keperluan untuk kawasan baharu yang diterokai.

Naib Canselor, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata FP, UPM telah membangunkan berbagai  infrastruktur, kemudahan dan tenaga pengajar yang mampu menawarkan kualiti pembelajaran yang unggul di peringkat ijazah dan pasca siswazah dalam bidang pertanian.

”Peranan FP bukan setakat mendidik menjadi graduan pertanian berjaya dalam semua aspek, malah memastikan jaminan dalam sekuriti makanan agar bekalan makanan di negara sentiasa mencukupi,” katanya.

Dengan program 2u2i itu pelajar akan belajar selama empat semester di UPM dan empat semester lagi di industri. Mereka akan belajar secara menyeluruh aspek pengurusan ladang bermula daripada semester kelima hingga semester kelapan.

Di industri, pelajar akan didedahkan secara hands on segala aspek pengurusan ladang termasuk kaedah pembukaan tanah perladangan yang mesra alam, menguruskan tanaman dan menguruskan sumber manusia.

Turut diadakan ialah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPM dengan ISPM dan The Holstein Milk Sdn. Bhd. dan majlis menandatangani Dokumen Setuju Terima Cadangan Program Pensijilan Pertanian AgroBank-UPM dalam merealisasikan objektif program itu.

Agrobank-UPM (Agrobank-UPM Agriculture Certification Program) merupakan pengiktirafan kepada UPM. Ia merupakan program melatih pegawai –pegawai Agrobank bagi meningkatkan kompetensi pengetahuan mereka dalam bidang pertanian.  

ISPM berperanan sebagai penasihat kepada UPM dalam pelaksanaan kurikulum, jenis kursus yang ditawarkan, kaedah penyampaian serta pembelajaran yang relevan dengan industri yang akan diceburi oleh pelajar selepas bergraduat.

Manakala, MoU antara UPM dan The Holstein Milk Sdn. Bhd. memberi peluang kepada pelajar menimba ilmu dan pengalaman dalam pengurusan penghasilan produk tenusu dengan kemudahan prasarana yang disediakan oleh The Holstein Milk Sdn. Bhd.

Antara aktiviti lain dari 19 hingga 20 Mac ialah Farm Run 2017, pameran program pengajian, Klinik Perkembangan Pertanian, Ceramah kerjaya, lawatan ke Ladang Organik dan Laman Pertanian Bandar serta jualan produk pertanian.

 

 

 

Kemaskini:: 25/03/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112605