| Universiti Putra Malaysia

Mahasiswa tahun satu Kolej 17 sertai program UEBC

Oleh Fahmi Azar Mistar

SERDANG, 18 Okt - Seramai 378 mahasiswa tahun satu dari Kolej Tujuh Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai program Ultra Elite Boost Camp (UEBC) kelima yang bertujuan membina kecemerlangan mahasiswa tahun satu.

Ia juga untuk mahasiswa menyumbang tenaga kerja dan idea kreatif dalam menyokong dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kolej, fakulti serta universiti.

Program lima hari, empat malam di Kolej Tujuh Belas itu dianjurkan Sekretariat Kepimpinan, Integriti dan Latihan, Majlis Tertinggi Mahasiswa Sesi 2017/2018 kolej berkenaan dengan kerjasama pihak pengurusan kolej itu serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM.

Program yang bertemakan ‘Bersama Membina Bangsa Malaysia’ itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman. Majlis turut dihadiri perwira negara Dato’ Leong Chee Woh yang pernah menentang komunis dalam mempertahankan negara ketika negara mencapai kemerdekaan.

                                

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, melalui program itu mahasiswa juga boleh memperbaiki dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta memupuk semangat cintakan kolej kediaman, fakulti, universiti dan negara.

Beliau berkata, program itu memberi impak yang positif kepada mahasiswa melalui kepelbagaian modul yang berteraskan semangat kecintaan terhadap negara serta meningkatkan nilai patriotik dalam diri mahasiswa.

Katanya, ia juga menguji pengetahuan am mengenai Malaysia dan menerapkan nilai kemahiran insaniah di kalangan mahasiswa yang mengikuti program berkenaan.

Aktiviti atau modul berkonsep Latihan Dalam Kumpulan (LDK), ketahanan jati diri daripada segi fizikal dan mental berjaya memupuk semangat berpasukan ke arah mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum di kalanagan mahasiswa yang menetap di Kolej Tujuh Belas. – UPM

 

WXEQWA6~