| Universiti Putra Malaysia

Komitmen rumahtangga tidak halang penjawat awam genggam Ijazah Master

Oleh: Dr. Cheng Kai Wah dan Nazrul Rapail


SERDANG, 10 Jan – Sebrina Shahniza Saiin, 36, dari Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia (UPM), membuktikan komitmen rumah tangga bukan halangan bagi seseorang penjawat awam untuk menamatkan pengajian Master Sains dalam tempoh lazim (Graduate-on-Time – GOT), iaitu dalam tempoh empat semester.

Isteri dan ibu kepada dua orang anak itu menerima ijazah Master Sains dalam bidang Agronomi pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44 di sini, dengan CGPA 4.00.

Sebrina yang juga graduan Bacelor Sains Pertanian pada 2017 menghabiskan pengajian secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ).

“Secara jujurnya, saya beberapa kali hampir berputus asa dalam penyelidikan tetapi amat bersyukur kerana dengan sokongan moral ahli keluarga, saya mampu berkongsi kegembiraan ini,” katanya yang mempunyai dua anak.

Beliau mengakui banyak cabaran perlu dihadapi, dan oleh itu perlu membahagikan masa dan keutamaan sebagai ibu dan juga pelajar.

“Setiap Isnin hingga Jumaat, saya akan bekerja sepenuh masa, hari Sabtu dan Ahad pula saya mempunyai kelas sepanjang hari, luangkan masa untuk anak-anak dan suami juga perlu diambil kira,” katanya.

Menurut beliau, faktor kejayaan utama bagi seseorang pasca siswazah ialah kemahiran pengurusan masa dan tabah.

“Saya seorang pasca siswazah sepenuh masa di UPM dan pada masa yang sama, adalah penjawat awam yang perlu bekerja dari Isnin hingga Jumaat. Saya hanya berpeluang untuk melakukan kerja lapangan saya pada hujung minggu,” katanya.

“Saya berasa berat hati ketika meninggalkan anak berumur dua tahun dan empat tahun pada waktu itu kerana saya perlu ke tempat kerja lapangan bagi mengumpulkan data penyelidikan pada hujung minggu sedangkan saya tahu mereka amat memerlukan perhatian saya ketika mereka membesar,” katanya.

Beliau juga perlu mencari alternatif sendiri untuk membiayai yuran pengajian dan perbelanjaan eksperimen kerana tidak mendapat biasiswa dan geran penyelidikan sepanjang sesi pengajian.

“Saya amat bersyukur kerana mempunyai penyelia yang sangat membantu. Beliau selalu berkongsi nota kuliah dan membantu saya dalam penyelidikan,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah di UPM dalam masa setahun. – UPM

SXEaSAS~