Kolej Ke-12 Anjur Pesta Tanglung Dedah Keunikan Budaya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kolej Ke-12 anjur Pesta Tanglung dedah keunikan budaya

Kolej Ke-12 anjur Pesta Tanglung dedah keunikan budaya


Oleh: Cheng Yi Wen dan Nor Huda Musa

SERDANG, 27 Okt - Kelab Generation 12 (G12), Kolej Ke-12 Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pesta Tanglung Ke-11 untuk mendedahkan pelajar kepada keunikan budaya kaum Cina.

Pengetua Kolej, Prof. Madya Dr. Faieza Abd Aziz berkata program itu juga bagi memperkenalkan keunikan budaya negara ini kepada pelajar asing di UPM.

“Pelajar digalakkan untuk mengenali budaya lain, dan melalui aktiviti kolej seperti ini akan turut memberi pendedahan kepada pelajar untuk meneroka pembelajaran di luar kelas,” katanya.

Pada Pesta Tanglung itu, G12 mempersembahkan drama pentas Kafe 1+1 mengenai percintaan antara pemilik Kafe 1+1, Deng Yu Qi dengan pasangannya, Yu Jia Yi yang meninggal dunia pada usia muda kerana menghidap penyakit neuron motor.



Pengerusi program G12 sesi 2015/2016 yang juga pengarah Pesta Tanglung 2016, Lee Long Shern pula berkata Pesta Tanglung itu berjaya menarik minat pelajar pelbagai bangsa menyaksikan drama pentas yang diadakan.

“Walaupun perayaan Tanglung telah disambut pada bulan lepas tetapi saya berharap melalui persembahan drama pentas, Kafe 1+1 boleh membawa hadirin kepada keadaan sebenar sambutan perayaan tersebut,” katanya.

Pesta Tanglung itu dianjurkan Kelab G12 serta Sekretariat Kerohanian dan Sahsiah MTM Kolej 12 dengan kerjasama pihak pengurusan Kolej Ke-12 serta Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM.

Pengerusi MTM Kolej Ke-12, Muhammad Asyraf Suriah pula berkata drama pentas itu menarik dan beliau mahu menyertai program itu pada tahun depan.

“Saya telah menyertai Pesta Tanglung sebanyak dua kali. Program pada tahun ini mempunyai pembaharuan berbanding tahun lepas, dan persembahannya memang menakjubkan,” katanya.

Pelajar tahun pertama, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM, Nor Adibah Fasihah berkata, lakonan watak utama telah meninggalkan kesan mendalam kepadanya dan sambutan perayaan Tanglung bersama rakan-rakan adalah pengalaman baharu baginya.

“Ini adalah pertama kali saya menyertai program sebegini. Walaupun drama pentas dipersembahkan dalam bahasa Cina, saya dapat memahaminya melalui terjemahan yang dipaparkan dalam slaid,” katanya. - UPM

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511033086