Kembara Penghayatan Ilmu Sains Tanah | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Kembara penghayatan ilmu sains tanah

Kembara penghayatan ilmu sains tanah

Oleh: Dr. Daljit Singh Karam

 

Jauh perjalanan, luas pemandangan. Selain dapat menikmati keindahan alam, setiap insan yang merantau pasti memperoleh ilmu yang berguna melalui pengalaman yang dilalui. Begitu juga dalam pendidikan, pelajar perlu didedahkan dengan ilmu sama ada melalui pembelajaran dalam kelas mahupun melalui pengalaman mereka sendiri. Di pusat pendidikan seperti kolej atau universiti, para siswazah datang daripada pelbagai latar belakang keluarga, dan paling ketara adalah kumpulan umur dan kerjaya.

 

Seringkali kita mendengar keluhan dan keraguan majikan mengenai kualiti graduan kita. Fenomena ketidakpercayaan ini terjadi di hampir semua negara sama ada negara membangun atau maju.

 

Kekurangan pertama yang diberi perhatian serius adalah tiada pengalaman kerjaya kerana kebanyakan anak muda kita, setelah tamat sekolah menengah, terus melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma, matrikulasi dan sebagainya. Keadaan ini tidak salah kerana corak pendidikan serta penerimaan masyarakat kita terhadap pendidikan adalah sama.

 

Harus kita ingat, segala ilmu yang dicurahkan kepada para siswazah adalah dengan harapan agar mereka meneruskan perjuangan pemimpin sekarang untuk menjadikan kehidupan masyarakat negara kita lebih elok.

 

 Oleh itu, lawatan lapangan bersifat akademik bukan hanya untuk mendedahkan pelajar kepada keunikan negara kita sebagai negara pertanian, tetapi juga mendedahkan mereka mengenai gaya hidup masyarakat setempat.

 

Bagi kursus atau kerjaya berkaitan pengurusan tanah, para pelajar perlu didedahkan kepada aktiviti pembelajaran luar kelas.  Di Universiti Putra Malaysia (UPM), khususnya bagi kursus sarjana muda dan sarjana yang ditawarkan oleh Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, pengisian pembelajaran perlu melibatkan aktiviti dalam dan luar kelas.

 

Kebiasaannya, pelajar akan belajar teori kursus dalam kelas diikuti dengan praktikal makmal atau di luar makmal. Ilmu sains tanah yang diperoleh dalam kelas dan makmal, perlu diselaraskan melalui penglibatan pelajar itu dalam dunia pekerjaan dan dalam komuniti setempat agar ada kesinambungan antara ilmu yang diperoleh dan dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar.

 

Seiring dengan matlamat pengurusan tanah yang mampan, yang perlu merangkumi, alam sekitar, peluang pekerjaan dan kebajikan masyarakat, kita dapat lihat bagaimana satu kawasan di warta menjadi khazanah untuk dijadikan daya tarikan pelancongan. Ini boleh menyumbang kepada penjanaan pendapatan setempat dan negara.

 

Contohnya, jika ditanya kepada orang awam mengenai Cameron Highlands, Pahang, pasti semua akan menjawab ia terkenal dengan ladang teh dan strawberi yang sebenarnya berkonsepkan agro-pelancongan. Aktiviti pertanian yang tinggi ditambah dengan ia merupakan kawasan pelancongan yang terkenal kerana suhunya yang sejuk dan nyaman, membolehkan pelancong melihat keindahan ladang teh, memetik strawberi dan tidak kurang pula penduduk tempatan yang membeli sayur-sayuran untuk memasak.

 

Melalui lawatan sebegini, kami yakin para siswazah mendapat gambaran keadaan kehidupan masyarakat setempat berdasarkan jenis pekerjaan mereka serta melihat potensi sesuatu tempat untuk menjadi lebih maju dalam penjanaan pendapatan.

 

Selain itu, terdapat para siswazah yang sudah berkerjaya tetapi melanjutkan pelajaran semula kerana ingin mempelbagaikan prospek kerjaya dan tidak kurang pula untuk kepuasan diri.

 

Golongan berkerjaya ini terlibat dalam pelbagai aktiviti serta pembentukan polisi untuk pengurusan dan kemajuan setempat. Pembelajaran di dalam kelas tidak mencukupi kerana pengalaman kerjaya dalam pengurusan membolehkan mereka berhadapan dengan masyarakat yang pelbagai ragam

 

Para pelajar jurusan Sarjana Pengurusan Sumber Tanah (LARM) perlu menghadiri kursus teknikal mengenai pengurusan sumber tanah dan urbanisasi di Cambridge University, United Kingdom selama seminggu. Kursus ini dibentuk mengikut keperluan industri dalam mengaitkan pembangunan di Eropah dengan Malaysia serta apa yang boleh implementasi di negara kita.

 

Selain itu, lawatan akademik ke negara jiran dan Asia lain juga diadakan seperti Indonesia, Thailand dan Jepun.

 

Objektif lawatan bukan untuk bersiar-siar, tetapi mendedahkan para pelajar dengan idea bagaimana sesuatu kawasan dapat dimajukan dengan lestari berdasarkan sumber sedia ada seperti Perkampungan Sasak di Mataram, dan Candi Borobudur dan Prambanan di Jawa Tengah, Indonesia.

 

Kursus sarjana muda sains Pengurusan Perladangan merupakan kursus baharu berkonsepkan 2u2i di mana pelajar belajar di universiti dan di perladangan untuk tempoh yang sama. Apa yang lebih baik adalah pelajar dapat melakukan sendiri kerja lapangan dengan tunjuk ajar daripada jurulatih bertauliah.

 

Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Radziah Othman berkata UPM membuka ruang kepada pelajar untuk sentiasa mencuba dan mempelajari sesuatu yang baharu.

 

“Corak penyampaian ilmu juga telah berubah dan tidak seperti 20 tahun ke belakang. Pembelajaran dalam kelas setakat nota kuliah dan ujian bertulis tidak mencukupi untuk mengukur kefahaman seseorang pelajar. Mereka perlu didedahkan kepada permasalahan rakyat sesuatu tempat, kerana para siswazah yang merupakan generasi muda adalah agen pengubah masa hadapan negara kita.

 

“Kami memberi kebebasan dan kepercayaan kepada para pelajar untuk mengadakan lawatan akademik mengikut kemampuan masing-masing dan mereka bijak mengambil inisiatif menggunakan tawaran tiket penerbangan dan penginapan murah. Ini juga mendidik mereka untuk melakukan sesuatu mengikut kesesuaian bajet dan masa,” - UPM

 

 

 

Kemaskini:: 05/07/2018 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1532096977