KARNIVAL EDU-PARK 1.0 Dedah Program Edu-pelancongan UPM Kepada Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » KARNIVAL eDU-PARK 1.0 dedah program edu-pelancongan UPM kepada masyarakat

KARNIVAL eDU-PARK 1.0 dedah program edu-pelancongan UPM kepada masyarakat


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 28 Mei – Bahagian eDU-PARK, Putra Science Park (PSP), Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya menganjurkan Karnival eDU-PARK 1.0 dengan beberapa aktiviti menarik untuk golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Pengarah PSP, UPM, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan berkata penganjuran karnival adalah untuk mempromosi dan memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai program edu-pelancongan yang terdapat di UPM.

“Tarikan yang terdapat di karnival ini adalah para pengunjung dapat menikmati sendiri pengalaman indah di ladang yang mana kebanyakan kawasan tersebut tidak dibuka kepada orang awam pada hari biasa,” katanya.



Ia dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan turut dihadiri Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Aktiviti utama semasa karnival adalah program Farm Exploration Adventure Biking @ UPM atau Kembara Berbasikal dengan peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia seawal lima tahun sehingga dewasa.

Peserta program, Rafidah Md Tahir, 42, berkata menariknya program itu adalah peserta  berbasikal di Ladang Tenusu Putra, UPM secara berkumpulan serta mempunyai lima stesen check point yang terdapat aktiviti dan tugasan yang perlu diselesaikan sebelum meneruskan perjalanan ke stesen berikutnya.

“Saya juga tertarik dengan konsep penyewaan basikal di UPM yang hanya perlu memberikan empat tin aluminum atau 8 botol minuman plastik yang merupakan barangan kitar semula dan cara ini secara langsung dapat memupuk sifat untuk kitar semula di kalangan masyarakat,” katanya.

Aktiviti lain termasuk Farm Exploration Adventure Biking @ UPM, bermesra dengan haiwan jinak seperti lembu, rusa dan kuda, pameran dan aktiviti dari lokasi eDU-PARK yang lain seperti Muzium Warisan Melayu, Galeri Serdang, Taman Konservatori, Muzium Anatomi Manusia, Muzium Anatomi Haiwan, demo memasak oleh chef restoran L'Apprenti UPM, jualan hasil tani dan produk UPM, food trucks dan cabutan bertuah.



Sementara itu dengan usaha sama dari sukarelawan Dakwah Orang Asli, UPM telah menerima kunjungan khas daripada  40 orang anak-anak Orang Asli Kampung Ulu Batu, Hulu Yam bertujuan memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman dan pembelajaran di universiti dan secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada anak-anak ini mengenai pendidikan di peringkat universiti.

Program eDU-PARK bermula Jun 2013 dan mendapat pengiktirafan daripada Tourism Malaysia dan NBOS Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelancongan.

Program eDu-Park menerapkan pembelajaran melalui pengalaman di mana setiap modul lawatan adalah merupakan lawatan berpandu dan interaktif bersesuaian dengan tagline Play, Learn and Stay Young. Program ini juga menyahut aspirasi STEM untuk mendekatkan masyarakat kepada aliran sains dan teknologi secara santai. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300621