Inovasi Mesin Penuaian Misai Kucing Tingkat Tuaian 30 Kali Ganda Berbanding Mesin Konvensional | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Inovasi mesin penuaian Misai Kucing tingkat tuaian 30 kali ganda berbanding mesin konvensional

Inovasi mesin penuaian Misai Kucing tingkat tuaian 30 kali ganda berbanding mesin konvensional

Oleh: Azman Zakaria
Foto oleh: Noor Azreen Awang

SERDANG: Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mereka bentuk mesin penuaian untuk tumbuhan herba Misai Kucing dengan keupayaan kapasiti tuaian 24.89 kg/jam, yang merupakan 30 kali peningkatan kapasiti pengeluaran berbanding menggunakan mesin penuai kaedah konvensional.

Inovasi mesin penuaian untuk tumbuhan daun lembut itu yang diberi nama ‘New Harvesting Machine for Agrivoltaic Herbal Crops Based on Reel-Wheel Rotating Mechanism’ adalah unik kerana prestasinya yang hebat berbanding kaedah manual, dan menawarkan kecekapan tenaga melalui pengenalan mekanisme rantaian roda reel untuk memutarkan reel secara automatik tanpa bantuan motor.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Ts. Dr. Mohd Salahuddin Mohd Basri dari Jabatan Kejuruteraan Proses dan Makanan, Fakulti Kejuruteraan UPM, berkata mesin penuaian itu direka khusus untuk menuai tumbuhan herba seperti Misai Kucing di kawasan terbuka dan di bawah panel fotovoltaik (PV), yang dipanggil Tanaman Agrivoltaic.

Katanya, kecekapan mesin penuai itu adalah 93.53%, yang dianggap tinggi dan berjaya memenuhi keperluan reka bentuk.

“Kecekapan prestasi mesin Misai Kucing diukur dengan mengenalpasti perbezaan berat Misai Kucing yang dituai dan memasuki pengumpul, serta Misai Kucing yang tidak dituai dan tidak kumpul,” katanya.

Beliau berkata, ketinggian mesin boleh dilaras dengan hanya menggunakan pin linch, sekali gus menggantikan lathe untuk membantu menyesuaikan ketinggian penuai.

Katanya, ketika operasi, rantai yang menghubungkan reel dan roda digunakan untuk menghantar kuasa dari sprocket dan aci pada roda kaster bagi menggerakkan aci lain di pemutar. Mekanisme penghantaran itu menggunakan rantai kerana jarak pusat antara aci yang kurang daripada 8 meter.

Menurutnya, pada masa ini, proses penuaian pucuk dilakukan secara manual menggunakan pemotong tangan biasa.

Katanya, walaupun teknologi moden telah diperkenalkan untuk membantu proses penuaian tanaman pertanian, penuaian tumbuhan lembut seperti daun teh dan tumbuhan ubatan menggunakan mesin penuai masih menjadi cabaran kepada petani.

“Bagi herba dengan daun dan punca daripada batang utama, teknik yang betul perlu digunakan untuk memastikan pertumbuhan baru akan berlaku. Ketinggian memotong juga menjejaskan pertumbuhan baru. Oleh itu, fleksibiliti dalam melaras ketinggian mesin penuai adalah salah satu faktor dalam mereka bentuk penuai,” katanya.

Katanya, saiz penuai juga adalah faktor yang perlu diambilkira jika digunakan dalam ladang secara kecil-kecilan atau ladang dengan ruang yang terhad seperti ruangan di bawah sistem panel fotovoltaik.

Justeru, saiz penuai yang lebih kecil perlu direka untuk memenuhi spesifikasi ruang yang terhad bagi mencapai hasil penuaian yang optimum.

Ts. Dr. Mohd Salahuddin berkata, mesin yang dibangunkan itu terdiri daripada bingkai yang mempunyai roda yang sesuai bagi pergerakan di atas tanah, pengumpul yang digandingkan dengan bingkai, pisau pemotong dipasang pada satu sisi pengumpul yang dikendalikan oleh enjin untuk gerakan memotong.

Reel dipasang pada pengumpul dan dipasang di bahagian atas bilah pemotong untuk membawa tanaman ke pisau memotong lalu menolak tanaman ke dalam pengumpul.

Beliau berkata, penggunaan mekanisme rantaian roda reel menggantikan blower atau kipas dapat mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk proses penuaian.

Katanya, mesin penuaian itu sesuai digunakan oleh petani dalam industri kecil dan sederhana kerana kosnya yang rendah dan mudah dikendalikan.

Penyelidikan bagi menghasilkan inovasi itu bermula pada 1 Februari 2019 dan tamat pada 1 September 2019, dan telah dipatenkan. Ia memenangi anugerah projek terbaik pada majlis pengiktirafan projek tahun akhir 2019. Ia juga memenangi anugerah khas “MTUN TVET International Innovation Award” dan pingat perak di pameran dan pertandingan R&D peringkat antarabangsa,  Malaysia Technology Expo (MTE) 2021.

Ahli lain dalam kumpulan penyelidikan itu ialah Prof. Ts. Dr. Rosnah Shamsudin, Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob dan Muhamad Nurjafni Jamaludin. – UPM

Tarikh Input: 21/05/2021 | Kemaskini: 21/05/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKVJAt:09:07