ICBAA2017 Bincang Aplikasi ‘Big Data’ Untuk Tambahbaik Urus Tanaman | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » ICBAA2017 bincang aplikasi ‘Big Data’ untuk tambahbaik urus tanaman

ICBAA2017 bincang aplikasi ‘Big Data’ untuk tambahbaik urus tanaman

Oleh: Khoirun Nisa

SERDANG, 5 Dis:  Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Wageningen University, Belanda bekerjasama menganjurkan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Data Raya Dalam Pertanian (ICBAA) 2017 bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan tanaman berasaskan maklumat yang menawarkan penyelesaian kepada masalah hakiki pengeluaran tanaman.

ICBAA2017 membincangkan pengumpulan, pengurusan dan teknik analitikal data menggunakan pelbagai perisian serta kaedah permodelan dan bioinformatik.

Persidangan dua hari itu yang bertemakan ‘From Nursey to Field’ memberi fokus kepada aplikasi data raya atau ‘Big Data’ dalam penambahbaikan dan pengurusan tanaman.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau ketika merasmikannya berkata, tema persidangan itu sendiri sudah menggambarkan perlunya penerokaan revolusi digital bermula daripada penanaman benih di tapak semaian sehinggalah kepada pemantauan dan pengurusan tanaman di ladang.

Katanya, pelbagai maklumat termasuk yang kompleks yang diperoleh dari ‘Big Data’ akan memberi faedah kepada petani, pembekal, pemilik ladang, pengilangan produk, pemasaran serta semua yang terlibat dalam rantaian pengeluaran.

Pada majlis itu beliau turut melancarkan buku bertajuk ‘Penambahbaikan Tanaman: Kemapanan melalui Teknologi Terkini’ yang diterbitkan penerbit antarabangsa Springer.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dato’ Husaini Omar; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pengarah Institut Kajian Perladangan UPM, Prof. Datin Dr. Siti Nor Akmar Abdullah yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur ICBAA2017. - UPM   

Tarikh Input: 15/12/2017 | Kemaskini: 15/12/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537292463