| Universiti Putra Malaysia

Hampas sagu ‘ditukar’ jadi bahan cetakan tekstil

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG, 6 Okt – Sejak sekian lamanya hampas sagu dibuang selepas kanji daripadanya diekstrak, tanpa banyak usaha untuk menterjemahkan bahan itu menjadi produk yang bermanfaat kepada manusia.

Lambakan hampas sagu -  di Sarawak sahaja kira-kira 60 tan hampas sagu dibuang setiap hari -- mencetus pelbagai masalah. Sebahagian besarnya dibuang ke dalam sungai kerana masyarakat beranggapan ia adalah makanan ikan, sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.

Tindakan berkenaan mengakibatkan air sungai menjadi masam kerana kandungan gula yang tinggi serta pembiakan bakteria pada hampas sagu itu. Ini mengakibatkan air di sungai yang terbabit mempunyai asid, sekali gus mengancam kehidupan haiwan dan tumbuhan di sungai itu.

Ada juga kilang yang membakar hampas sagu selepas mengetahui ia tidak boleh dibuang ke dalam sungai, namun pembakaran menyebabkan pula pencemaran udara.

Senario itu mencetus ilham buat Ketua Jabatan Rekbabentuk Industri, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari untuk mencipta produk daripada hampas sagu yang terbuang itu.

“Saya mahu memanfaatkan bahan-bahan terbuang… hampas sagu banyak terhasil setiap hari tetapi tiada penyelesaian terhadap lambakan itu.

“Saya mahu membantu komuniti… memberi nilai tambah kepada pengusaha sagu, pengusaha batik dan mahu berkhidmat dengan alam,” katanya.



Projek menjadikan hampas sagu sebagai bahan pengganti lilin batik dan cetakan pada tekstil itu dimulakan pada 2012 menggunakan peruntukan RM90,000 melalui Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS).

Kajian dijalankan bersama penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Selepas melakukan banyak ujikaji, formula itu berjaya dihasilkan pada akhir tahun lalu. Kita cari beberapa formula sebelum memperoleh formula yang tepat, yang hasilnya begitu memuaskan kerana corak dan warna pada kain tidak mengembang dan sukar luntur,” katanya.

Inovasi baharu dalam industri percetakan batik yang diberi nama EcoPaste itu lebih selamat serta mesra alam, dan akan menggantikan lilin paraffin semasa mencanting dan mencetak batik. 

Inovasi EcoPaste adalah formula pemekat menggunakan bahan asli daripada hampas sagu. Hampas dan air limbahan sagu diformulakan dalam bentuk serbuk bagi memudahkan proses bancuhan dan senang disimpan berbanding produk cetakan sedia ada.

Dr. Nazlina berkata, formula sagu yang dihasilkan itu melalui proses pencelupan warna dengan bahan warna antaranya seperti kunyit, kulit manggis, kulit buah rambutan, daun mangga, dan kulit buah mangga, bergantung kepada warna yang hendak dihasilkan.

“Pelbagai ton warna boleh dihasilkan daripada setiap bahan alam itu,” katanya.

Dr. Nazlina berkata, produk EcoPaste itu boleh digunakan ke atas kain linen, sutera dan kain kapas serta menggunakan blok batik dan sutera saring.

“Kelebihan pada formula ini berbanding teknik sedia ada ialah ia mampu bertindak sebagai bahan pemekat untuk batik cetakan serta bahan penghalang warna atau resis di dalam pembuatan batik lukis dan blok, dan boleh digunakan sehingga bahan tersebut habis tanpa meninggalkan sebarang sisa buangan,”  katanya. 

Rekaan itu memenangi pelbagai anugerah antaranya pingat Emas dan Anugerah Khas Biotechnology Innovation of the Year pada Bioinnovation Awards 2015, Special Price Award oleh Korean Society of Design Science pada International Spring Invitational Exhibition Seoul, Korea 2014, dan Double Gold Award pada British Invention Show 2012.

Menurutnya pada masa ini, industri batik lukis dan batik cetak di Malaysia menggunakan lilin paraffin serta pemekat sintetik yang selalunya diimport. 

Bahan ini mengandungi toksik dan bau kimia lilin itu boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengusaha batik dalam jangka masa  panjang seperti kegatalan mata, kulit, kesan kepada paru-paru dan sistem pernafasan menjadi tidak selesa.

Tambahan pula katanya, semasa proses menyahkan lilin paraffin, kandungan toksik yang tinggi akan dialirkan ke longkang dan sungai yang akan menyebabkan pencemaran air. – UPM


WXFZVAZ~