Graduan Harus Berani Ambil Risiko Keluar Zon Selesa - Sultan Sharafuddin | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Graduan harus berani ambil risiko keluar zon selesa - Sultan Sharafuddin

Graduan harus berani ambil risiko keluar zon selesa - Sultan Sharafuddin

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG - Graduan harus berani mengambil risiko keluar dari zon selesa dengan mencabar keupayaan diri untuk menjadi lebih baik daripada sekarang.

Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah graduan harus menonjolkan kelebihan intelektual dengan membimbing masyarakat ke tahap yang lebih baik menempuh cabaran masa depan.

“Keluarlah dari kerangka pemikiran biasa kepada pemikiran baharu yang mencabar kebiasaan untuk membantu negara menjadi maju dan berdaulat.

“Beta suka mengingatkan para graduan bahawa universiti merupakan medan untuk mentransformasi minda, menghayati hala tuju serta cita-cita yang tinggi dan murni,” titah baginda yang mengurniakan ijazah pada hari pertama Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-39, 2015 dari 31 Oktober hingga 3 November 2015 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.


Pada majlis itu, UPM meraikan 7,056 graduan yang berjaya menamatkan pengajian di UPM terdiri daripada 469 PhD, 1,860 Master, 4,299 Bacelor dan 428 Diploma di mana bilangan graduan PhD yang dihasilkan adalah yang tertinggi antara Universiti Awam di Malaysia.

Sultan Sharafuddin selaku Sultan Selangor bertitah selaras dengan slogan UPM, “Pertanian . Inovasi . Kehidupan”, UPM telah menubuhkan Pusat Sekuriti Makanan Negara untuk mengatasi masalah berkaitan bekalan makanan di Malaysia.
 
“Untuk itu, UPM telah mengadakan program-program baru dalam bidang kejuruteraan pertanian, ekonomi pertanian, pengeluaran dan pemprosesan yang dapat membantu negara dalam keperluan makanan dan perladangan,” titah baginda.

Baginda menggesa agar UPM menarik minat cerdik pandai terkemuka dunia bekerja bersama universiti.

“Graduan perlu menyelami permasalahan masyarakat secara berhadapan dan bukan hanya melalui dunia siber dan teknologi tanpa sempadan,” titah baginda lagi.

Sultan Sharafuddin berharap agar UPM menerajui bidang pertanian dengan memberikan impak yang nyata kepada masyarakat dan negara.

Pada istiadat itu, baginda mengurniakan ijazah kehormat Doktor Sains kepada Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid yang dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Sains, Tan Siok Choo atas pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan dan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim atas pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan.
 
Sementara itu, Anugerah Profesor Emeritus dikurniakan kepada Prof. Dr. Karen Ann Crouse @ Ani Abdullah.

Majlis pengurniaan ijazah sebanyak lapan sesi selama empat hari itu turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin pada sesi kedua (31 Oktober), kelima (2 November), ketujuh (3 November); Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek pada sesi ketiga (1 November), keenam (2 November) dan kelapan (3 November) serta Tan Sri Dato’ Seri Mohd Bakke Salleh pada sesi keempat (1 November).

Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan


Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid yang dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Sains


Tan Siok Choo dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perladangan


Tuanku Canselor turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para Pemenang Hadiah Peringkat Universiti iaitu Hadiah Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Pelajaran Diraja (Bumiputera), Pingat Emas Alumni dan Pingat Emas Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Rashdan Baba kepada Ermelia Rohayu Ramlan daripada program Bacelor Sains Pertanian; Hadiah Pingat Emas Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) dan Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Ng Geok Lim daripada program Doktor Perubatan Veterinar.

Pingat lain universiti yang disampaikan baginda ialah Pingat Putra Agribio kepada Daniel Mohan Jacob (Doktor Perubatan Veterinar), Hadiah Pingat Emas Doktor Falsafah kepada Tumirah Khadirin (PhD Nano Science), Institut Teknologi Maju, Hadiah Pingat Emas Master Dengan Thesis, Nur Atiqah Mohamad Aziz (Master Kejuruteraan Hijau), Institut Teknologi Maju, Hadiah Buku Tahunan MTDC (Inovasi/Pengkomersilan/Perniagaan) kepada Phuah Kit Teng (PhD. Perniagaantani), Fakulti Pertanian dan Hadiah Syed Kechik kepada Yap Ee Lyn (Bacelor Sains (Kepujian) Mikrobiologi), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

Sementara itu, 37 graduan program sulung Bacelor Sains Kepujian (Biologi Sel dan Molekul), 48 graduan program sulung Bacelor Sains (Kepujian) Bioteknologi dan 177 graduan program sulung Bacelor Pendidikan (Pendidikan Sekolah Rendah) dengan Kepujian pada sesi 1 (31 Oktober) dan 42 graduan Bacelor Sains Taman dan Rekreasi (Sesi 4, 1 November) yang akan bergraduat pada tahun ini.

Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563579434