Gagal SPM, Dapat Raih Master | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Gagal SPM, dapat raih Master

Gagal SPM, dapat raih Master

Oleh Nurul Amiraa Mohamed Rafic

 

SERDANG, 29 Okt – “Demi membuktikan bahawa saya mampu berjaya dalam pelajaran setanding adik-beradik yang lain, saya tebalkan muka mengambil semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1997 selepas gagal pada 1996,” demikian kata Zulkifly Rizal Isfahani, graduan berasal dari Cheras.

 

Hasil usaha dan kegigihannya itu, Zulkifly, 39, hari ini menerima ijazah Master Penderiaan Jauh dan Sistem Maklumat Geografi, Fakulti Kejuruteraan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42 di sini.

 

“Sungguhpun sudah berusia, lebih-lebih lagi jarak usia jauh berbeza berbanding pelajar sekelas yang lain, saya tetap bertekad untuk belajar dengan cemerlang demi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

 

Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu berkata, setelah berjaya lulus peperiksaan ulangan SPM, beliau mendapat tempat menyambung pengajian Pra Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan seterusnya menyambung Diploma Ukur Bahan di UiTM Perlis.

 

“Saya berdepan banyak cabaran sepanjang pengajian terutama daripada segi persepsi masyarakat seperti ‘dah tua baru nak belajar,” katanya.

 

Sepanjang tempoh pengajian master di UPM, katanya, beliau juga perlu menjaga isteri yang ketika itu mengandung, selain bekerja sepenuh masa di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pada masa sama perlu menghabiskan tesis program untuk bergraduat.

 

“Ini antara pengorbanan yang perlu ditempuh…namun semua itu membuahkan hasil dan hari ini dapat bergraduat dengan disaksikan keluarga, isteri, dan anak-anak,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian peringkat doktor falsafah tahun depan dalam bidang sama.

 

Katanya, beliau bersyukur dan gembira kerana dapat menamatkan pengajian master dalam tempoh masanya (on time) selain turut berjaya menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program peringkat diploma dan tiga kali Anugerah Dekan pada peringkat ijazah sarjana muda. - UPM

Tarikh Input: 21/11/2018 | Kemaskini: 21/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563579294