| Universiti Putra Malaysia

Fusion Lab UPM kumpul dana gilap potensi Murid Berkeperluan Khas

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 4 Mac – Buat julung kalinya Makmal Pendidikan Khas (Fusion Lab), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Bersama Murid Berkeperluan Khas (MBK) kategori kurang upaya intelek  bertujuan mengumpul dana bagi penyelidikan dan intervensi terapi komuniti untuk kanak-kanak MBK.

Majlis yang merupakan sebahagian pengisian Program Intervensi Terapi Komuniti itu bertujuan meningkatkan kesedaran umum terhadap kepentingan program intervensi melalui muzik bagi membangunkan potensi mereka ke arah hidup berdikari.

  

Program berkenaan meliputi penyelidikan dan intervensi terapi komuniti melalui instrumen muzik, pendidikan psikologi dan kaunseling.

Ia melatih murid berkeperluan khas dari program pendidikan khas integrasi dari sekolah-sekolah dan terbukti berjaya memperkembangkan bakat dan potensi mereka melalui perubahan positif ke atas tingkah laku murid selepas diberi intervensi berbanding sebelumnya.

Pengarah program yang juga Penasihat Fusion Lab, Prof. Madya Dr. Samsilah Roslan berkata majlis itu dapat menyebar luas aktiviti intervensi MBK melalui muzik.

“Hasil kajian berjaya didokumentasikan oleh kumpulan penyelidik Fusion Lab UPM menunjukkan data yang amat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata jumlah MBK yang mengikuti Program Intervensi Terapi Komuniti, Fusion Lab UPM kini meningkatkan kepada 30 pelajar sejak penubuhannya pada  2014.

“MBK didapati menunjukkan peningkatan signifikan dalam pemikiran kreatif apabila diberikan tugasan muzik dengan cabaran optimum,”katanya.

 

Bakat dan Potensi MBK turut dipertontonkan pada majlis ini melalui persembahan nyanyian dan bermain alat muzik.

Antara MBK yang menunjukkan bakat membuat persembahan ialah Umar Hasfizal bergandingan bersama kumpulan Khamsatul Karamah Group, Kolej Kelima UPM, dengan menyampaikan nasyid bertajuk ‘InsyaAllah”, Sayuri Shirai menyampaikan empat buah lagu melalui alat muzik, Xylophone, persembahan Dikir Barat dan Kuda Kepang.

Antara pengisian lain ialah berkongsi kejayaan Kumpulan Twinkle Cats yang terdiri daripada kanak-kanak berkeperluan khas dari Jepun yang telah menjalani terapi intervensi berdasarkan sayuri model yang menggabungkan ilmu neurosains dan seni kreatif.


Majlis itu dirasmikan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Yasmin Hussain dan Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris.

 

 

WXEZOAj~