Frenzy Board Mesra Pengguna, Kurangkan Risiko Cedera, Jimatkan Masa | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Frenzy Board mesra pengguna, kurangkan risiko cedera, jimatkan masa

Frenzy Board mesra pengguna, kurangkan risiko cedera, jimatkan masa

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG,  12 Jan - Kesukaran memasang papan paparan poster (display board) untuk pameran dan kebarangkalian terdedah kepada risiko kecederaan ketika pemasangannya, membawa kepada penciptaan inovasi Frenzy Board yang juga mudah dibawa dan disimpan.

Inovasi ini menjimatkan masa pemasangan, mengurangkan tenaga kerja dan kos serta risiko kecederaan.

Ekoran daripada permintaan yang tinggi bagi penggunaan display board untuk pameran tetapi pemasangannya yang agak rumit, kurang stabil dan berat, sekumpulan sembilan kakitangan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menamakan kumpulan mereka Eco-Euphoria berjaya mencipta Frenzy Board dengan ciri-ciri yang mesra pengguna.

Frenzy Board memenangi tempat kedua kategori Anugerah Inovasi Perkhidmatan pada Hari Kualiti & Inovasi Perkhidmatan 2015 UPM. Kumpulan Eco-Euphoria sebelum ini juga telah melahirkan inovasi Smart Shoe Rack dan Eco-Waste System.



Ketua Penolong Pendaftar FEM, Shahriman Hashim yang juga fasilitator kumpulan Eco-Euphoria, berkata kumpulan itu yang diwujudkan pada Ogos 2013 bagi melibatkan diri dalam projek inovatif telah mengenalpasti masalah yang dihadapi ketika pemasangan display board, sebelum berjaya mencipta Frenzy Board.

Katanya, Frenzy Board mengandungi empat elemen iaitu padat (compact), mudah alih (mobile), boleh dilaras (adjustable) atau disesuaikan untuk pelbagai format pameran, serta adaptable iaitu sesuai untuk pelbagai material poster.

“Strukturnya padat dan tiada komponen berasingan yang perlu disambungkan ketika pemasangan. Ia juga ringan, mudah alih kerana berbentuk seperti briefcase dengan roda, tidak memakan ruang besar untuk penyimpanan, mudah dikendalikan dan sesuai untuk kemudahan logistik,” katanya dalam temubual.

Beliau berkata strukturnya boleh dilaras mengikut keperluan pameran dengan ciri-ciri flip yang mampu mempamerkan sehingga enam keping poster menggunakan material magnet paper.



Masa yang singkat iaitu kurang daripada tiga minit diperlukan untuk pemasangannya dan hanya dilakukan oleh seorang sahaja berbanding kira-kira 20 minit dan oleh dua orang untuk memasang display board sedia ada.

“Ia juga mudah dibawa kerana lebih ringan iaitu kira-kira 3.7 kg untuk pameran poster saiz A3 dan 10 kg bagi pameran saiz poster A1, berbanding 26.6 kg berat satu set display board,” katanya sambil menjelaskan bahawa inovasi itu akan dipatenkan.

Ketua kumpulan Eco-Euphoria, Salmina Sulaiman pula berkata Frenzy Board juga boleh dipasang oleh wanita kerana ia mudah dilakukan.

Frenzy Board signifikan dan efektif dalam menjimatkan masa pemasangan, mengurangkan tenaga kerja dan kos, serta mampu mengurangkan risiko keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, lapisan magnetik pada lapisan paparan Frenzy Board pula akan membolehkan poster dilekatkan menggunakan magnet, sekaligus mengelak poster rosak berbanding menggunakan pin atau paku semat.

Ahli lain dalam Eco-Euphoria ialah Mohamad Nazry Hisham, Normaziah Zulkifli, Farah Zeehan Mohd Nazri, Sharifah Hussin, Rahman Basman, Amir Nordin Abu Bakar dan Harnita Abd Wahab. - UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300808