FEM Anjur Persidangan Antarabangsa Cabaran Ekologi Manusia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » FEM anjur persidangan antarabangsa cabaran ekologi manusia

FEM anjur persidangan antarabangsa cabaran ekologi manusia

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Marina Ismail

 

PUTRAJAYA, 18 April - Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC 2017) bagi memperkasa dan meningkatkan keupayaannya di dalam bidang penyelidikan sains sosial terutamanya di dalam Kluster Kemanusiaan dan Pembangunan Nusa Bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata persidangan itu boleh memberi input kepada penggubalan polisi ke arah dunia yang lebih selamat.

“Penganjuran persidangan ini dapat menggariskan resolusi untuk menjadi pemacu dan landasan bagi keseimbangan ekosistem manusia,” katanya ketika merasmikan HEIC 2017 di sini.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata persidangan itu dapat mengupas cabaran ekologikal yang dihadapi dunia.

“Misi kita supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutama kepada  generasi akan datang dengan keseimbangan ekosistem manusia untuk dinikmati oleh keluarga, masyarakat dan negara dalam persekitaran yang dinamik,” katanya.

Pengerusi HEIC 2017, Prof. Madya Dr. Haslinda Abdullah pula berkata HEIC 2017 bertemakan “Towards a Safer World: Addressing the Dynamics of Human Ecological Challenges” itu menghimpunkan lebih 200 penyelidik, pelaksana dan pembuat dasar dari pelbagai bidang berkaitan ekologi manusia dalam dan luar negara.

“Persidangan ini bertujuan untuk mengupas mengenai ketamadunan, agama dan nilai, pengurusan sumber, pembangunan komuniti, pembangunan kanak-kanak, belia dan dewasa, dan tingkah untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh keluarga, masyarakat dan negara dalam persekitaran yang dinamik,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan dengan kerjasama Syarikat Usaha Jana Sdn. Bhd dan Insititut Kefahaman Islam Malaysia. 

Kemaskini:: 06/07/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511000009