Fakulti Perhutanan UPM, Queensland University Of Technology Laksana Kempen Pemuliharaan Hutan Batu Kapur | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Fakulti Perhutanan UPM, Queensland University of Technology laksana kempen pemuliharaan hutan batu kapur

Fakulti Perhutanan UPM, Queensland University of Technology laksana kempen pemuliharaan hutan batu kapur

Oleh Prof. Madya Dr Siti Suriawati Isa

 

LANGKAWI, 1 Okt – Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Queensland University of Technology (QUT), Australia meneruskan kempen kesedaran dan pemuliharaan hutan batu kapur untuk tahun ketiga di Langkawi dari 26 September hingga 1 Oktober lalu.

Kempen itu kemudian diperluaskan hingga ke Kuala Nerang dan Pendang, Kedah dari 1 hingga 7 Oktober kerana tahun ini merupakan tahun terakhir program di bawah tajaan the New Colombo Plan dan UPM.

Program 12 hari itu dibahagikan kepada dua bahagian, dengan yang pertama dijalankan di Langkawi yang terkenal dengan formasi hutan batu kapur di seluruh kepulauannya.

 

Pelajar daripada UPM dan QUT melakukan kajian dan penyelidikan mengenai hutan batu kapur daripada segi sains dan sains sosial di samping turut terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

Program tahun ini turut melibatkan pelajar Fakulti Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam yang melakukan kajian dan penyelidikan daripada aspek senireka. Program itu juga merupakan sebahagian daripada kelas amali bersepadu bagi Bacelor Sains Taman dan Rekreasi (Tahun 3) dan inbound short term mobility bagi UPM dan QUT.

Gabungan tiga disipilin yang berbeza iaitu sains, sains sosial dan senireka telah menjadikan program itu sangat unik.

Program diteruskan dengan Kem Renjer Muda Hutan Batu Kapur peringkat negeri Kedah 2019 yang diadakan di SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang.

Tujuh sekolah menengah terlibat dengan kem itu iaitu SMK Dato’ Syed Ahmad dan SMK Naka dari daerah Padang Terap, SMK Hosba, SMK Paya Kamunting dan SMK Bandar Darulaman dari daerah Kubang Pasu, serta SMK Parit Panjang dari daerah Baling.

Objektif utama kem itu adalah untuk memupuk semangat cintakan hutan khususnya hutan batu kapur di kalangan golongan belia dan pelajar sekolah serta mencintai alam sekitar. Mereka telah diberikan beberapa tugasan, membina 3D model dengan menggunakan permainan LEGO dan bahan-bahan lain, dan perlu membuat pembentangan di dalam Bahasa Inggeris dengan bantuan pelajar dari tiga universiti berkenaan.


Ia disertai 125 peserta terdiri daripada pelajar peringkat universiti tempatan dan luar negara serta pelajar sekolah menengah daripada seluruh Kedah. Pada akhir kem, pemenang dipilih oleh juri yang juga memilih dua pelajar sekolah untuk anugerah Renjer Muda Hutan Batu Kapur 2019.

Tempat pertama dimenangi SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang; kedua SMK Naka, Padang Terap; manakala ketiga SMK Hosba, Jitra.

Anugerah Renjer Muda Hutan Batu Kapur 2019 pula diberikan kepada Luqman Hakim Haim Hilman pelajar tingkatan empat SMK Paya Kamunting, Jitra dan Muhammad Amirul Ikhsan Ahmad Badli pelajar tingkatan 6 Rendah SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang.

Sekolah-sekolah yang bertanding berjaya membina 3D model yang unik berserta dengan konsep dan kreativiti yang menarik yang mewujudkan persaingan sengit.

Sementara itu, SK Paya Rawa dari daerah Pendang dipilih untuk menjalankan aktiviti khas bagi sekolah pendalaman yang diberi nama Learning Englis is Fun: Save Our Limestone Forest pada 6 Oktober 2019.

Program separuh hari itu memberikan pendedahan mengenai penggunaan dan keyakinan untuk berbahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah di kawasan pendalaman. Ia merupakan aktiviti yang pertama melibatkan pelajar sekolah itu bersama pelajar dari universiti luar negara.

Peserta juga didedahkan mengenai mengenai budaya daripada Australia, China dan Malaysia, dan dapat mengenali dengan lebih dekat persamaan dan perbezaan budaya di antara ketiga-tiga negara itu serta jurang antara pelajar di kawasan bandar dan pedalaman.

Peserta turut di bawa ke tempat-tempat menarik sekitar Langkawi, Alor Setar, Kuala Nerang, Pedu, Pendang dan Kubur Panjang. Mereka juga diberi peluang merasai pelbagai makanan tempatan negeri Kedah dan dibawa untuk aktiviti menoreh getah, penerangan mengenai penanaman kulat organik dan berkhemah di kawasan kampung.

Program itu memberikan pengalaman hebat kepada peserta dan berjaya memecahkan benteng budaya di antara tiga negara iaitu Australia, China dan Malaysia. Di antara agensi yang turut bekerjasama menjayakan program itu adalah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Penarak Nature Center Sdn. Bhd., Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pejabat Ahli Parlimen Langkawi, SMK Dato’ Syed Ahmad, Kuala Nerang dan SK Paya Rawa, Pendang. - UPM

                                                              

Tarikh Input: 18/10/2019 | Kemaskini: 18/10/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKSMAs:12:11