Ekspo Kerjaya CEM UPM Tawar 4,000 Peluang Pekerjaan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Ekspo kerjaya CEM UPM tawar 4,000 peluang pekerjaan

Ekspo kerjaya CEM UPM tawar 4,000 peluang pekerjaan

Oleh Syifarida Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang

 



SERDANG, 18 Mei -  Lebih 4,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan  sempena Ekspo Kerjaya 2016 anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan UPM serta membantu meningkatkan jumlah pelajar yang mempunyai atribut keusahawanan.

Pengarah CEM, Dr. Mass Hareeza Ali berkata ekspo itu mampu menjadi platform kepada graduan mendapat peluang pekerjaan mengikut bidang masing-masing.

“Ini adalah peluang terbaik untuk mengintai peluang pekerjaan, bersemuka dan berinteraksi dengan syarikat luar.

“Lebih 50 syarikat swasta dan kerajaan menyertai ekspo ini.

“Antara sektor yang terbabit ialah perkilangan, perladangan, kejuruteraan, perhotelan, agensi kewangan, perkhidmatan dan peruncitan,” katanya.
 
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPM, Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata penganjuran ekspo itu selaras dengan misi universiti untuk mencapai sasaran sebanyak 80 peratus graduan mendapat pekerjaan ketika konvokesyen tahun ini.

Ekspo CEM yang berlangsung selama dua hari itu turut menyediakan aktiviti menarik kepada pengunjung seperti cabutan bertuah, pengisian ceramah keusahawan, ceramah kerjaya, personality Care dan free goodies.

CEM EXPO peringkat UPM adalah program kerjaya yang komprehensif dalam usaha untuk membuka ruang perbincangan dan perkongsian maklumat berkaitan kerjaya oleh syarikat dan agensi luar kepada bakal graduan, graduan UPM dan graduan Institut Pengajian Tinggi lain.

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506247997