SERDANG – Kumpulan pelajar Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra Malaysia yang dikenali dengan nama Peer Support Group (PSG) menganjurkan seminar antarabangsa bertajuk ‘Managing the Research Journey’ bagi mendedahkan kepada pelajar siswazah kaedah berkesan untuk mengendalikan penyelidikan mereka.
Pengarah PSG, Chang Sui Kiat berkata seminar itu disertai oleh 350 pelajar siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di mana hampir separuh daripadanya ialah pelajar antarabangsa untuk mendapat pendedahan mengenai penyelidikan berkesan daripada penceramah Universiti Otago, New Zealand, Dr. Vijay Kumar Mallan yang berpengalaman luas dalam motivasi pelajar.
“Tujuan seminar ini diadakan ialah untuk memupuk tabiat penyelidik yang berjaya dalam kalangan pelajar siswazah, cara menguruskan penulisan tesis, kaedah membentangkan hasil penyelidikan di persidangan antarabangsa dan persediaan untuk menghadapi viva pada penghujung pengajian untuk memastikan kebolehpasaran mereka,” katanya.
Beliau berkata jalinan kerjasama antarabangsa perkongsian ilmu dengan institusi tersohor, Universiti Otago membantu mengukuhkan pengantarabangsaan pelajar UPM dan menggalakkan idea baharu agar pelajar siswazah UPM relevan dengan cabaran global.
Seminar itu diadakan pada 17 – 18 Mac, 2012 dari pukul 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Kuliah Utama (DKU), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM dengan kerjasama Pertubuhan Pelajar Antarabangsa UPM (UPM –ISA), Pusat pembelajaran pelajar, Universiti Otago, New Zealand dan Sekolah Pengajian Siswazah UPM.
Seminar dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPM, Profesor Datin Paduka Dr. Aini Ideris.
PSG Sekolah Pengajian Siswazah UPM ditubuhkan pada Januari 2012 untuk membantu masalah kehidupan kampus pelajar siswazah seperti penginapan, akademik, perbezaan budaya, visa, passport dan kebajikan dengan mengemukakan permasalahan kepada pengurusan universiti selain membantu kelancaran pendaftaran pelajar baru siswazah. Ia dianggotai oleh 10 pelajar siswazah tempatan dan antarabangsa yang bekerja secara sukarela untuk menjaga kebajikan pelajar siswazah.
Berita asal oleh Chang Sui Kiat, tel: 017-5179118 dan disunting oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) UPM.