Universiti Putra Malaysia
Halaman Selamat Datang
Khamis, April 17, 2014 
 
Berita »

Graduan pertanian UPM pemimpin isu sektor pertanian negara masa depan




SERDANG, 21 Feb - Pertumbuhan industri pertanian di Malaysia memerlukan graduan pertanian yang berkualiti bagi memimpin isu-isu mengenai sektor pertanian kepada generasi masa depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong berkata sektor pertanian sentiasa memainkan peranan yang amat penting terutamanya dalam pembangunan ekonomi negara.

“Terdapat beberapa faktor yang menjejaskan bekalan pertanian dan makanan global antaranya penurunan dalam pengeluaran pertanian dan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

“Kini dunia sedang menghadapi cabaran mengenai isu pertanian dan kita tidak boleh berhenti untuk mencari idea baharu untuk mempertingkatkan industri pertanian negara kita,” katanya pada majlis perasmian The 3rd international Agriculture Students Symposium di sini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata hampir 70 peratus graduan Fakulti Pertanian UPM telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta.

“Pelajar UPM bukan hanya khusus dalam sektor pertanian berorientasikan perniagaan malah berpotensi ke industri sains dan teknologi, ahli akademik serta sebagai pemimpin pada masa akan datang,” katanya.






Simposium anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Pertanian (PERMATANI) di bawah Fakulti Pertanian UPM itu disertai oleh 74 pelajar pertanian ijazah pertama daripada sembilan negara antaranya dari Indonesia, Jepun, Thailand, Kanada, Rusia, China, Emeriah Arab Bersatu dan Filipina.

Selain itu, pelajar turut boleh bertukar pandangan mengenai isu semasa pertanian, perkembangan maklumat pertanian dan idea inovasi dalam sektor pertanian pada program itu.

Pelajar Russia, Naib Batukaer berkata simposium itu adalah baik untuk pelajar antarabangsa untuk perkongsian ilmu dalam isu-isu mengenai teknologi pertanian, pengeluaran tanaman dan alam sekitar.

“Ini adalah untuk memupuk kerjasama pada peringkat awal dalam sektor pertanian dan segala ilmu yang diperolehi di sini akan saya kongsi kepada rakan-rakan saya,” katanya.

Pengarah program, Amirul Asraf Tumin berkata symposium itu diharapkan dapat melebarkan lagi rangkaian kerjasama antara universiti dan menggabungkan hasil penyelidikan, teknologi dan jalan penyelesaian daripada negara-negara terlibat dalam usaha menjaga keselamatan makanan (food security) untuk kebajikan manusia seluruh dunia.

Berita ini disediakan oleh Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm), Noor Eszereen Juferi, 03-8946 8985 dan foto oleh Marina Ismail, 03-8946 6199