Halaman Selamat Datang
Sabtu, Ogos 02, 2014 
 
Berita »

UPM raih anugerah ‘Greentech University Award 2012’




KUALA LUMPUR, 12 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat anugerah ‘Greentech University Award 2012’ kategori Silver pada majlis penyampaian Malaysia GreenTech Award 2012  di Pusat Konvensyen Kuala  Lumpur (KLCC).

Anugerah GreenTech Malaysia merupakan satu pengiktirafan ke atas usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh individu, syarikat dan pertubuhan yang telah membawa penambahbaikan dan perubahan yang lebih baik kepada alam sekitar serta meningkatkan sumbangan berkesan ke arah memacu kejayaan pembangunan teknologi hijau di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang merasmikan majlis itu telah menyampaikan anugerah kepada Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat ) UPM, Prof. Ir. Dr. Renuganth Varatharajoo yang mewakili UPM.

 






UPM berkongsi anugerah ‘Greentech University Award 2012’ kategori Silver bersama Asia Pacific UCTI Sdn. Bhd. Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Platinum, Gold, Silver, Special Awards dan ASEAN Energy Awards.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Seri Peter Chin Fah Kui berkata kerajaan akan meneruskan usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan berasaskan teknologi hijau bagi usahawan tempatan dan sektor perniagaan.

"Tumpuan akan diberikan kepada usaha memperbanyakkan produk perkhidmatan hijau tempatan yang dapat mengurangkan impak kepada alam sekitar seperti perubahan iklim, kesusutan sumber, pencemaran serta kekurangan sumber tenaga dan air.

"Dalam hal ini, kementerian saya akan terus melakukan usaha yang terbaik bagi memastikan pertumbuhan hijau akan terus kekal sebagai agenda utama," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin berkata anugerah itu juga akan  menjadi pemangkin kepada pelaksanaan banyak inisiatif hijau yang baik serta berpotensi besar untuk pembangunan negara.

“Kerajaan berharap penerima anugerah akan terus membantu kerajaan dalam menyebarluas dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan hijau dan pembangunan teknologi hijau Negara,” katanya dalam anugerah yang dianjurkan oleh Malaysian Green Technology Corporation dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Berita ini disediakan oleh Siti Hajar Parzi , 03-89466031 dan foto oleh Hasrul Hamdan, 03-89468985