Halaman Selamat Datang
Sabtu, Ogos 30, 2014 
 
Berita »

Pelancaran Bandar Hijau Serdang platform UPM-MPSJ gabung kepakaran




SERDANG, 17 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)  bergabung kepakaran menjadikan kawasan Serdang sebagai Bandar Hijau yang cekap menguruskan pencemaran alam sekitar dan sisa pepejal.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata sembilan bidang kerjasama itu ialah khidmat komuniti, alam sekitar, kejuruteraan, bandar raya hijau, sumber maklumat, bandar selamat, pembangunan modal insan, perkhidmatan perbandaran dan pengindahan persekitaran.






“Bandar Hijau Serdang merupakan usaha awal membangunkan kejiranan Serdang merangkumi beberapa projek yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik UPM dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), Fakulti Kejuruteraan dan Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC).

“Kami berhasrat menjadikan Serdang sebagai makmal sosial UPM untuk membangunkan komuniti secara menyeluruh,” katanya pada majlis pelancaran Bandar Hijau Serdang di sini.         

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Asmawi Kasbi berkata pembangunan Bandar Hijau Serdang merupakan ‘Green Initiative MPSJ-UPM’ bagi melahirkan komuniti hijau dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di Serdang.






“Kawasan Serdang dipilih kerana ia merupakan bandar yang dibangunkan berdasarkan matlamat mencapai pembangunan yang memberi kesan ke atas pemeliharaan alam sekitar dalam jangka masa panjang,” katanya

Antara projek yang akan dijalankan iaitu Serdang Biomass Town, Program Pemindahan Ilmu, Program Zon Bersih Sri Serdang, kitar semula dan penggunaan plastik secara berhemah.

Projek itu adalah sebahagian program perintis pembangunan konsep bandar biomas yang dilaksanakan selama tiga tahun (2011-2013) termasuk pemasangan lampu LED yang boleh menjimatkan bil elektrik sehingga 50 peratus.

Berita ini disediakan oleh Noor Eszereen Juferi 03-89468985 dan foto oleh Mohd Hasrul Hamdan 03-89466189