SERDANG, 18 Feb – Seramai 1,351 pelajar baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam kalangan guru telah mendaftar sebagai pelajar Bacelor Pendidikan, (Pendidikan Sekolah Rendah) dengan kepujian, Mod Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di bawah program pensiswazahan guru UPM-Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di sini.
Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, Prof. Dr. Ab. Rahim Bakar berkata daripada jumlah itu, seramai 1,257 telah mengambil major Bahasa Melayu dan 94 mengambil major Bahasa Inggeris.
“Program selama empat tahun ini memudahkan pelajar kerana mereka tidak perlu ke UPM untuk sesi pembelajaran sebaliknya menghadirkan diri ke Pusat Pembelajaran di setiap negeri yang dikendalikan UPM Education & Training Sdn. Bhd. (UPMET),” katanya pada majlis ikrar dan suaikenal pelajar baharu itu.
 Kevin Mak Wai Kim yang dibantu penterjemah ketika menghadiri sesi pendaftaran
Pelajar orang kelainan upaya (OKU), Kevin Mak Wai Kim berkata kekurangan fizikal pada dirinya tidak menghalang hasrat beliau untuk menyambung pengajian major Bahasa Inggeris.
“Masalah pendengaran saya bukan halangan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya yang dibantu oleh seorang penterjemah ketika menghadiri sesi pendaftaran.
Tambah beliau, segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi menerusi program itu akan disalurkan kepada pelajarnya di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Pendengaran Batu Pahat, Johor.
Pasangan suami isteri, Roslan Samad dan Zuriyati Mahamed yang mengikuti program major Bahasa Melayu berkata mereka telah belajar bersama sejak di Institut Perguruan Malaysia.
“Profesion perguruan pendidikan sekolah rendah akan berkualiti dengan program pengajian sebegini yang ditawarkan UPMET,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UPMET, Dr. Abdul Aziz Saharee berkata pelajar PJJ merupakan aset penting dalam masyakat dan juga dalam pekerjaan.
“Pelajar PJJ bertanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik untuk menterjemahkan tanggungjawab sebagai pelajar universiti walaupun sedang berada dalam alam pekerjaan,” katanya.
Berita ini disediakan oleh Noor Eszereen Juferi, 03-8946 8985 (MarComm) dan foto oleh Mohd Azreen Awang, 03-8946 6199 (MarComm)
|