| Universiti Putra Malaysia

COVID-19 tidak halang pelajar usaha tanaman terung

Oleh: Dr. Daljit Singh


SERDANG, 27 Mei – Pelajar Kolej Empat Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil peluang pertanian di saat negara menghadapi pandemik COVID-19 dengan mengusahakan tanaman terung panjang atau nama saintifiknya ‘Solanum melongena Linn’, di kawasan kolej kediaman.

Berbekalkan pengalaman sebagai universiti berteraskan pertanian, Majlis Perwakilan Kolej 14 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM mengambil inisiatif menjalankan aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan sampingan.

Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam program itu secara langsung mencipta peluang kepada mereka yang bukan daripada aliran pertanian untuk merasai pengalaman bertani, sekaligus dapat sedikit sebanyak mengubah persepsi pelajar terhadap kerjaya pertanian.

Pengetua Kolej 14, UPM, Dr. Daljit Singh berkata konsep pertanian itu mengekalkan penggunaan  tanah dan baja yang bersesuaian untuk tumbesaran buah terung panjang.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti pertanian secara konvensional agak terbatas dan pelajar Kolej 14 UPM menggunakan inisiatif penanaman yang tidak memerlukan pemantauan tinggi dengan memilih kawasan strategik di halaman Kolej 14 yang dapat memberi tanaman sumber cahaya, air dan kelembapan yang secukupnya,” katanya.

Katanya, banyak kawasan tanah terbiar di kawasan kolej kediaman itu boleh dimanfaatkan, dan perlu digunakan sepenuhnya oleh pelajar kerana projek pertanian menjanjikan pendapatan lumayan.

“Berbekalkan modal kurang dari RM10,000, kita dapat menyediakan semua peralatan yang diperlukan seperti sistem paip, tangki baja dan pondok simpanan.

“Projek perintis itu membabitkan sebanyak 300 pokok yang mula diusahakan awal tahun ini dan kini mula mengeluarkan hasil memuaskan apabila 10 - 15 kg buah dapat dikeluarkan setiap minggu dan dijual kepada pemborong,” katanya.

Presiden MPK14 dan juga pelajar Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, UPM, Muhamad Danial Hafiz berkata beliau antara pelajar yang meluangkan masa antara satu dan dua jam sehari di kebun melakukan pelbagai kerja.

“Saya dan beberapa rakan di Kolej 14 telah mengikuti kursus jangka pendek sebelum ini, dan  ia membantu untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan tanaman terung menerusi sistem fertigasi.

"Saya bagaikan tidak percaya dengan hasil diraih, seterusnya mampu menjual terung panjang pada harga RM7 sekilogram bagi gred A dan RM3 bagi gred B," katanya.

Katanya, pelajar perlu bijak membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai pelajar sepenuh masa.

Hasil jualan pertama ini dapat menambahkan kewangan Tabung Usahawan Pelajar dan akan digunakan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada pelajar. - UPM

WXEbJAN~