| Universiti Putra Malaysia

Cacat pendengaran bukan halangan bagi graduan UPM

Oleh: M. Amiruddin Aziz
Pelajar Bacelor Komunikasi 

SERDANG, 12 Jan – Chia Kah Min atau lebih mesra dikenali sebagai Amber Chia, graduan Bacelor Sains Kimia, Fakulti Sains yang juga merupakan seorang pelajar yang mengalami masalah pendengaran sejak lahir.

Amber, 25, yang berasal dari Melaka itu menyatakan bahawa beliau sedar dirinya mengalami masalah pendengaran pada usia 19 tahun ketika beliau menghadapi peperiksaan Malaysia University English Test (MUET) dalam ujian pendengaran.

Sejak itu, beliau perlu menggunakan alat bantuan pendengaran pada kedua-dua belah telinga yang memakan kos hampir RM 5,000. Beliau juga terpaksa menanggung kos pembelian bateri ganti bagi alat bantuan pendengaran itu setiap bulan.

Namun, baginya ia bukanlah cabaran yang harus digeruni.

Katanya, beliau menerima keadaan beliau seadanya dan menyesuaikan diri serta cekal untuk meneruskan minat dan impian beliau.

“Kita jangan berasa rendah diri apabila kita berlainan dengan orang lain kerana ada sebab kenapa kita adalah diri kita sekarang. Kalau kita dapat atasi masalah yang kita hadapi ini, kita akan jadi seseorang yang lebih baik,” katanya.

Sikapnya yang sentiasa ceria dan bersemangat turut membantu beliau dalam mengelakkan tekanan dalam pelajaran dan beliau bersyukur dikelilingi oleh kelompok rakan-rakan yang positif serta memberi sokongan.

Selain itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Putra Malaysia (UPM) turut membantu dari segi kewangan kepada beliau di mana sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kos sara diri dan keperluan alat bantuan pendengarannya. - UPM

SXEbFAt~