Atlet UPM Terima Anugerah Tertinggi Sukan Negara 2017 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Atlet UPM terima anugerah tertinggi sukan negara 2017

Atlet UPM terima anugerah tertinggi sukan negara 2017

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Atlet hoki UPM bersama Naib Canselor UPM(tengah)

KUALA LUMPUR, 13 Mac - Anugerah Sukan Negara 2017 menyaksikan atlet-atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf dalam anugerah sukan tertinggi negara itu.

Pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Cheong Jun Hoong dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Beliau menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20, 000.

Pada Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest, Hungary Julai lalu, beliau memecah dominasi penerjun China, sekali gus menjadi penerjun pertama negara meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia.

Gambar hiasan - Jun Hoong tidak hadir pada majlis itu kerana menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) di Jepun.

Jun Hoong tidak hadir pada majlis itu kerana menyertai Kejohanan Terjun Siri Dunia Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA) di Jepun.

Manakala skuad hoki lelaki negara, yang turut disertai atlet-atlet hoki UPM menerima Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan. Atlet-atlet UPM yang menyarung jersi skuad hoki negara ialah Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dari Fakulti Ekologi Manusia; Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan kedua-dunya dari Fakulti Bahasa Moden Komunikasi; serta beberapa alumni UPM yang bakal beraksi dalam Piala Dunia Hoki 2018.

Skuad hoki turut menerima piala pusingan, piala iringan, sijil dan wang tunai RM20,000.

Hadiah-hadiah dan piala disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis itu yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Jasmani), pula berjaya meletakkan diri dalam senarai calon Olahragawan Kebangsaan

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato' Dr Aini Ideris yang turut hadir, melahirkan kesyukuran dan berbangga dengan pencapaian itu.

“Saya berbangga dengan atlet-atlet UPM yang telah membuktikan bahawa kejayaan sukan dan akademik boleh bergerak seiring. Diharapkan kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar-pelajar lain,” katanya.

Ketua Pusat Sukan UPM, Dr. Hanafiah Ayub pula berkata, program pembangunan sukan yang teratur merupakan salah satu kunci utama kejayaan itu.

“UPM sentiasa menjalankan program pembangunan sukan secara intensif supaya lebih ramai atlet kebangsaan dilahirkan di sini,” katanya yang telah membawa UPM muncul juara keseluruhan SUKIPT 2018 baru-baru ini. - UPM

Kemaskini:: 15/03/2018 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1531786246