| Universiti Putra Malaysia

ADUN Sabah raih gelaran Doktor Falsafah

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu)

SERDANG, 21 MAC- Datuk Dr. Haji. Mohd Arifin Mohd Arif, 59 hari ini berjaya memperoleh gelaran Doktor Falsafah setelah menerima Ph.D dalam sesi Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-45 hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Membakut, Sabah itu meluahkan rasa syukur atas pencapaian yang diperoleh dan percaya ini adalah rezeki daripada Allah S.W.T serta berkat bantuan beberapa pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) yang banyak memberi dorongan kepadanya sepanjang melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D.

“Tuntutlah ilmu setinggi yang mungkin, syukur dengan apa yang diperoleh dan sedarilah ilmu yang dimiliki sebenarnya adalah setitis daripada lautan yang Allah S.W.T bentangkan. Oleh itu, ajar dan amalkan ilmu yang dipelajari supaya boleh dimanfaatkan oleh semua masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang melanjutkan pengajian, beliau akui banyak kekangan terutamanya dari segi pengurusan masa yang dihadapi memandangkan beliau mula menceburkan diri dalam bidang politik sejak 2004.

Datuk Dr. Haji. Mohd Arifin pernah dilantik sebagai pembantu Menteri kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan kini menyandang jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Tugas-Tugas Khas yang menjaga pendidikan dan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah sehingga kini.

Beliau sempat menyampaikan beberapa amanat Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk beliau menyelaraskan pelbagai program dan inisiatif berkaitan pendidikan kerana YAB Ketua Menteri Sabah meletakkan agenda modal insan sebagai agenda yang penting untuk memastikan Sabah maju jaya.

“Antara modal insan yang penting ialah ilmu dan pendidikan, pelbagai inisiatif yang telah dibuat agar dapat membantu pelajar khususnya,  melalui Program Budi bantuan one off  bagi pelajar Sabah yang ingin menyambung ke pengajian yang lebih tinggi akan diberikan bantuan dana,” katanya.

Beliau meluahkan pandangannya berkenaan ada pihak yang cuba menafikan kualiti UPM dalam mengeluarkan jumlah graduan PhD yang terlalu ramai.

“Bagi saya, mereka perlu datang ke UPM dahulu serta perkara tersebut tidak perlu dinafikan kerana baharu sahaja tadi dinyatakan oleh Naib Canselor UPM, Yang Hormat Profesor Dato' Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam ucapannya terdapat sebanyak 95 peratus kebolehpasaran kerja bagi graduan daripada UPM dan jumlah itu jelas menunjukkan UPM merupakan sebuah universiti yang bereputasi tinggi,” katanya.

WXFBIA1~