| Universiti Putra Malaysia

440 graduan IPTS terima ijazah, diploma Program Kerjasama UPM-IPTS

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 26 Okt - Seramai 440 graduan daripada tujuh buah Institusi Pendidikan  Tinggi Swasta (IPTS) menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen ke-18 Program Kerjasama UPM-IPTS, hari  ini.

Mereka terdiri daripada seorang graduan Doktor Falsafah (PhD), 227 graduan Master dan 212 graduan Diploma dari Kolej Teknologi Timur, Kolej Uniti, Kolej Widad (dahulunya Kolej Shah Putra), Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (dahulunya Kolej Risda), Kolej Universiti Bestari (dahulunya Kolej Teknologi Bestari), dan Putra Business School.

Penyampaian ijazah dan diploma disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Dalam ucapannya, beliau berkata, UPM berbangga dapat melahirkan satu lagi kumpulan graduan yang bakal mendukung dan menggemilangkan lagi nama UPM .

“Pengurusan UPM percaya, dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, keyakinan dan integriti diri yang tinggi, graduan UPM-IPTS mampu memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan dan peradaban bangsa di negara ini,” katanya.

Katanya, IPTS mempunyai peranan penting dalam membangunkan potensi rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada eko sistem pengajian tinggi negara.

Beliau berkata, pertambahan jumlah pelajar di IPTS berjaya meliberalisasikan sektor pengajian tinggi dan berupaya melebarkan akses pendidikan tertiari kepada rakyat.

Katanya, ia juga menjadi alternatif, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada universiti awam semata-mata.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini turut berharap graduan tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga.

“Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi yang memaksa ibu bapa yang berpendapatan sederhana terpaksa bekerja lebih kuat bagi memastikan anak-anak mereka dapat belajar dalam keadaaan yang lebih baik.

“Ibu bapa rela berkorban demi tuntutan mencari ilmu memajukan diri anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Justin Chin Khim Fatt  graduan Master Pentadbiran Perniagaan dari Putra Business School dipilih sebagai penerima Anugerah Presiden (Terbaik Akademik) pada majlis konvokesyen itu. - UPM


SXDTPAS~