| Universiti Putra Malaysia

30 pelajar UPM meriahkan program Hulk’s Brain Gym

Oleh Nurul Zayanah Abdul Rahim

SEREMBAN, 30 Nov – Seramai 30 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada Kursus Seni Penghujahan (QKT 2101) mengadakan program “Hulk’s Brain Gym” dengan kerjasama Zenith International School di sini.

Objektif program adalah untuk mewujudkan dan menanam nilai kepimpinan di kalangan pelajar, terutamanya dalam melaksanakan sesuatu program serta memberi pendedahan dalam menyampaikan pengucapan awam dengan teknik yang berhemah.

Pengarah program, Mohamad Rashdan Ahmad Yusof berkata ilmu seni penghujahan amat penting untuk pelajar apabila berada di luar kelak.

“Dengan ilmu ini, seseorang itu mampu menarik perhatian orang ketika berhujah. Cetusan program ini adalah untuk membentuk mereka yang biasa menjadi luar biasa,” katanya.

Usaha yang dilakukan boleh membantu pelajar berdaya saing bukan sahaja daripada segi kokurikulum, malah juga daripada segi seni penghujahan yang boleh membantu mereka menonjolkan diri.

Program “Hullk’s Brain Gym” itu ditaja Yayasan HIjau Malaysia, dan mendapat sambutan yang baik daripada Zenith International School serta ibu bapa dalam memupuk dan memartabatkan seni penghujahan.

Pelajar sekolah itu yang terlibat terdiri daripada lingkungan 11 tahun hingga 15 tahun.

Turut sama dalam program itu ialah Fasilitator, Punnithnan Subramaniam, wakil pengetua Zenith International School, Jaciyntha dan pegawai pemantau dari UPM, Arbaah. - UPM

WXEbEAN~