Solusi Terhadap Pencemar Alam | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Solusi terhadap pencemar alam

Solusi terhadap pencemar alam

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris** 

Oleh Dr. Wan Norhidayah W Mohamad

Sepanjang tahun 2019, kita dikejutkan dengan berita negatif yang berkaitan dengan ancaman dan kemusnahan terhadap alam sekitar. Bermula dengan berita lambakan sisa plastik negara luar di Pelabuhan Klang, pembuangan sisa bahan kimia di dalam Sungai Kim Kim yang telah menjejaskan kesihatan penduduk di Pasir Gudang, disusuli dengan kepupusan badak sumbu sumatera jantan dan juga terkini negara kita berhadapan dengan masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Pelbagai kesan negatif terhadap ekonomi dan juga kesihatan penduduk negara telah dibincangkan seperti peningkatan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan ke klinik kesihatan dan juga kehilangan bilangan pelancong yang datang sepanjang tempoh jerebu.

Ancaman dan kemusnahan terhadap alam sekitar dan sumber biodiversiti di negara kita ini dilihat seakan  berentetan dan berterusan berlaku. Sebagai contoh, mengikut data terkini daripada International Union for Conservation of Nature (IUCN) sehingga Mac, sebanyak 193 spesis haiwan yang terdapat di Malaysia adalah dalam keadaan terancam berikutan bilangannya yang semakin menurun. Malah, terdapat beberapa lagi haiwan di Malaysia yang terancam dengan kepupusan seperti harimau malaya dan orang utan. Tidak mustahil perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh kemerosotan habitat harimau berkenaan kesan daripada ekploitasi sumber hutan. Berdasarkan laporan Millennium Ecosystem Assessment pada tahun 2005, perubahan dalam kepelbagaian biodiversiti berlaku pesat dalam tempoh lima puluh tahun dan keadaan keterancaman sumber ini dijangkakan terus berlarutan. Ianya ternyata benar berdasarkan data semasa yang dilaporkan oleh IUCN. Kepupusan sumber yang berterusan ini adalah sangat membimbangkan walaupun pelbagai langkah sejagat telah diambil bagi memelihara dan memulihara biodiversiti contohnya seperti pelan tindakan biodiversiti yang diratifikasi oleh hampir 200 buah negara seperti Malaysia, United Kingdom dan New Zealand.

Sampai bilakah ancaman terhadap alam sekitar ini harus dibiarkan berterusan? Satu tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan masalah ini dapat dibendung segera. Sebagai contoh, satu piawaian pencemaran alam sekitar yang ketat boleh diwujudkan oleh kerajaan, iaitu dengan mengawal dan mengecilkan had jumlah bahan pencemar yang boleh dilepaskan terhadap alam sekitar oleh setiap industri pencemar, bergantung kepada saiz industri tersebut. Berdasarkan piawaian ini, setiap industri pencemar harus memastikan jumlah pencemaran yang dilepaskan adalah tidak melebihi piawaian yang ditetapkan. Jika sebaliknya, cukai ataupun denda yang tinggi boleh dikenakan terhadap industri yang tidak mematuhi piawaian.

Kaedah lain ialah dengan mengenalkan caj pencemaran, iaitu bayaran yang dikenakan secara langsung ke atas pelepasan sebenar jumlah pencemaran oleh industri pencemar. Semakin banyak jumlah pencemaran dilepaskan ke alam sekitar, semakin tinggi caj yang perlu dibayar. Melalui kaedah ini, industri pencemar tidak lagi boleh mengabaikan kesan negatif aktiviti industri mereka terhadap alam sekitar. Sebaliknya, caj pencemaran akan memaksa pencemar untuk bertanggungjawab dengan kerosakan yang berlaku, dengan menganggap caj pencemaran sebagai sebahagian daripada kos pengeluaran yang harus ditanggung.

Seterusnya, kerajaan boleh menggalakkan lebih banyak industri pencemar untuk menggunakan peralatan kawalan pencemaran yang canggih dengan memperkenalkan subsidi bagi peralatan tersebut. Subsidi peralatan kawalan pencemaran boleh dilaksanakan melalui pemberian geran, kredit cukai pelaburan dan juga pinjaman dengan kadar bunga yang rendah. Kaedah ini akan menggalakkan lebih banyak firma melabur dalam penggunaan peralatan kawalan pencemaran bagi membantu mengurangkan jumlah pencemaran yang dilepaskan terhadap alam sekitar.

Subsidi juga boleh diberi dalam bentuk bayaran terhadap setiap unit pencemaran yang dikurangkan dibawah daripada tahap yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jumlah beban pencemaran Keperluan Oksigen Biokimia (BOD) ditetapkan sebanyak 2 ton/hari yang boleh dilepaskan oleh industri pembuatan. Jika industri ini berjaya mengurangkan jumlah pencemaran yang dilepaskan di bawah 2 ton/hari, subsidi akan diberikan oleh kerajaan bagi setiap unit pencemaran yang berjaya dikurangkan oleh industri pencemar. Ini akan lebih menggalakkan industri untuk mengambil langkah bagi mengurangkan jumlah pencemaran yang dilepaskan.

Peningkatan dalam bajet kerajaan terhadap inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar juga dilihat mampu untuk mengekalkan kelangsungan biodiversiti di masa hadapan. Contohnya seperti satu peruntukan khusus diberikan bagi tujuan penanaman semula pokok secara besar-besaran, maka habitat flora dan fauna dapat dilindungi daripada kepupusan. Manakala pembalakan haram di sesetengah tempat dapat dihalang dengan memberikan insentif kepada pihak yang mengawal kegiatan ini daripada terus berlaku. Sebagai contoh, insentif diberikan oleh kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri yang berjaya mengawal pembalakan haram atau apa sahaja aktiviti yang boleh merosakkan sumber biodiversiti di negeri masing-masing.

Dr. Wan Norhidayah W Mohamad

Pensyarah Kanan,

Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 22/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKWIA:08:45