| Universiti Putra Malaysia

Naib Canselor UPM adakan kunjungan hormat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka

MELAKA, 9 Feb – Naib Canselor Unversiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini.

Kujungan itu turut disertai penyelidik dari Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) iaitu Pengarah INSPEM, Prof. Dr. Muhammad Rezal Dato’ Kamel Ariffin; Ketua, Laboratori Etnomatematik dan Didaktik (LED), INSPEM, Prof. Madya Dr. Rohaidah Kamaruddin; Pegawai Sains LED, Dr. Mohd Rohaizat Abdul Wahab dan Pegawai Penerbitan INSPEM, Norazlida Aminuddin.

Kunjungan itu bertujuan mendapatkan perkenaan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi cadangan penyelidikan Kapal Mendam Berahi dan pembinaan Kapal Mendam Berahi di Melaka.

Kapal Mendam Berahi yang tercatat dalam Hikayat Hang Tuah akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam pembangunan ‘blueprint’ kapal Mendam Berahi.

Laboratori Etnomatematik dan Didaktik, INSPEM akan terlibat dalam memastikan kiraan dan ukuran sebenar Kapal Mendam Berahi dalam manuskrip lama itu diterjemah setepat yang mungkin kepada sistem metrik moden.

Cadangan pembinaan itu juga untuk menjadikan Kapal Mendam Berahi sebagai ikonik dan tarikan utama industri pelancongan di Melaka.

Kunjungan hormat juga disertai oleh mereka yang bersepakat untuk memberi dana penyelidikan dan pembinaan. TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka menyokong usaha itu.

Pertemuan dua hala itu turut membincangkan kerjasama strategik yang boleh dijalin di antara kerajaan Negeri Melaka dan UPM dalam pelbagai isu. Di akhiir pertemuan itu, TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka menyatakan minat untuk mengadakan lawatan ke UPM. - UPM

WXFBXA~