| Universiti Putra Malaysia

PENYELIDIK UPM HASILKAN TEKNOLOGI ALTERNATIF RAWAT SISA AIR KUMBAHAN

SERDANG – Penyelidik dari Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ts. Dr. Rahinah Ibrahim terpilih menjadi salah seorang pengasas dan ahli komuniti inovator global yang dikagumi dan diiktiraf oleh GIST Oceans Series (Siri Lautan GIST) melalui inovasi Sistem Rawatan Kumbahan Tidak Berpusat (ISTP).

ISTP ialah sebuah teknologi rawatan kumbahan yang dipasarkan melalui syarikat OceaNori, sebuah syarikat pemula di Malaysia untuk menyokong aktiviti pembangunan ekonomi marin.

Ketua penyelidik, Prof. Rahinah berkata, ISTP unik kerana mudah dipasang dengan melilit pada tiang. Saiz kecilnya pula memudahkan tangki diangkut, dipasang dan diselenggara tanpa menjejaskan hasil kumbahan terawat yang memenuhi Standard A Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN).

“Saya menghargai bagaimana rakan-rakan penyelidik UPM dan UMS turun padang bersama-sama wakil NGO untuk benar-benar memastikan gabungan aspek teknologi dengan aspek sosio-budaya setempat,” katanya.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) telah menyalurkan dana kepada NGO Action Caring Team (M) Berhad yang bekerjasama dengan penyelidik UPM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk melaksanakan pemasangan 10 tangki ISTP di Pulau Gaya, Sabah dan melatih 10 orang nelayan dalam pengendalian tangki.

Selain itu, Prof. Rahinah adalah Ketua, Jawatankuasa Implementasi, Program Inisiatif Sisa Kumbahan Sejagat UNEP yang memberi beliau peluang berkongsi pengalaman projek di pentas UNEP.

UPM berbangga dengan sumbangan impak ISTP dalam Projek Sanitasi Penempatan Air di Sabah yang diiktiraf sebuah Projek Amalan Terbaik SDG oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun Julai 2021.

Datuk Bandar Kota Kinabalu telah menyenaraikan program sanitasi di penempatan air sebagai sebuah projek di bawah Inisiatif “Luv KK” yang dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri Sabah pada April 2022. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu akan bekerjasama dalam membangun sebuah garis panduan pengurusan sanitasi khusus untuk penempatan air.

Garis panduan tersebut dijangka akan memenuhi matlamat UNEP yang mensasarkan untuk membangunkan sebuah komuniti selaras dengan pemuliharaan biodiversiti di laut. Di pihak UPM, hasil dapatan projek diharap dapat menaikkan skala ISTP untuk menjayakan pengembangan di persada antarabangsa. Penglibatan ISTP akan membantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mencapai sasaran “satu rumah, satu tandas” yang terpaksa ditunda dari tahun 2030 ke 2070 kerana kekangan sistem sanitasi yang bersesuaian dengan geografi yang mencabar.

Siri Lautan GIST dilancarkan di bawah Program Inovasi Global melalui Sains dan Teknologi (GIST) dan memfokus kepada pembangunan visi yang saksama, mampan dan menarik bagi inovasi lautan sejagat yang baharu. Siri Lautan GIST ini mensasarkan untuk mengetengahkan para inovator melalui program dan inisiatif ke seluruh dunia dengan hasrat memperkasa pembangunan generasi pengusaha muda melalui penciptaan Ekonomi Biru (Blue Economy) yang bersifat global.

Sejak 2011, GIST bekerjasama dengan lebih 27 juta ahli komuniti inovasi dari pelbagai sektor swasta di seluruh dunia. GIST memangkin penyelesaian di peringkat awal oleh syarikat-syarikat permulaan dengan menangani cabaran kewangan dan pembangunan melalui rangkaian, pembinaan kemahiran, bimbingan dan akses kepada pembiayaan. Sehingga kini, GIST telah melatih lebih 15,000 syarikat permulaan yang telah menjana lebih $250 juta hasil. OceaNori adalah pemenang Pertandingan Syarikat Pemula GIST-APEC 2018 di Brisbane, Australia.

 

Maklumat lanjut hubungi:

Nor Azizah Ismail
Pegawai Eksekutif
Putra Science Park
Universiti Putra Malaysia

Tel: 017-6844721
Emel: promosi@upm.edu.my

WXEbTAj~