| Universiti Putra Malaysia

Pakar Kesihatan Kuda, Pakar Teknologi Makanan: Pensyarah Kembar Tidak Seiras UPM

Oleh : Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Dari kiri: Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan & Prof. Madya Dr. Noranizan Mohd Adzahan

 

SERDANG - "Kami tidak pernah merancang untuk menjadi pensyarah bersama di universiti ini memandangkan masing-masing tidak pernah mempunyai minat dan cita-cita yang sama," luah dua pensyarah kembar Prof. Madya Dr. Noraniza Mohd Adzahan dan Prof. Madya Dr. Noranizan Mohd Adzahan.

Prof. Madya Dr. Noranizan pensyarah di Jabatan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Dan Teknologi Makanan berkata sejak di bangku sekolah rendah lagi ibunya sudah berpesan agar beliau dan kakak kembarnya itu bergaul dengan rakan-rakan yang lain sehinggakan mereka terlupa bahawa mereka merupakan pasangan kembar.

"Bermula darjah satu lagi emak dan ayah kami sudah berpesan pada guru untuk mengasingkan kelas supaya kami berkawan juga dengan orang lain. Oleh sebab itu, kami mempunyai kumpulan kawan yang berbeza.

"Ketika sekolah menengah di MRSM Jasin yang kini  menjadi MRSM Tun Ghafar Baba, kami diletakkan dalam satu kelas yang sama kerana pihak sekolah tidak mahu memisahkan kami, namun kawan saya dan kakak daripada kumpulan yang berbeza," katanya. 

Selain mempunyai minat dan kecenderungan yang berbeza, kedua-kedua mereka memiliki ciri personaliti yang berbeza tetapi membantu pasangan kembar ini menjadi pasangan yang unik dan saling melengkapi.

"Jika kembar suka untuk memakai baju dan warna yang sama namun kita tidak suka perkara tersebut. Saya lebih gemar berbaju kurung atau berkain namun kakak pula lebih selesa berseluar.

"Saya lebih ekstrovert namun kakak saya pula sebaliknya. Jika ada tetamu beliau lebih gemar membuat air di dapur tetapi saya akan bergaul. Begitu juga ciri personaliti yang lain kami sentiasa berlawanan," katanya.

Mengimbau kembali zaman persekolahan, nama kakaknya pernah dipotong ketika mengambil ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan pengawas peperiksaan merasakan terdapat kesilapan ejaan nama yang hanya berbeza 'N' dihujung nama.

"Nombor kad pengenalan kami juga sama cuma yang membezakan ialah nombor belakang. Begitu juga mengundi baru-baru ini yang mana kami mengundi di kawasan yang sama.

"Jadi, hampir sahaja nama saya dipotong kerana pegawai bertugas fikir nama ada dua kali ditulis namun kakak saya maklumkan seorang lagi itu adik kembar dan sedang menunggu di luar bilik mengundi," katanya.

Mengulas berkenaan kerjayanya di UPM, beliau memulakan perkhidmatan sebagai seorang tutor pada 2001 manakala kakaknya pula mula menjadi ahli akademik pada 2003.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Niza, merupakan pensyarah di Jabatan Perubatan dan Pembedahan Haiwan Ladang & Eksotik, Fakulti Perubatan Veterinar berkata walaupun masing-masing sudah bekerja di UPM namun mereka jarang bertemu.

"Fakulti Veterinar terletak jauh di luar kawasan kampus utama menyebabkan kami jarang berjumpa. Kami akan bersama sekiranya terdapat program besar universiti seperti bertugas di reruai UPM di MAHA.

"Kami pernah menerbitkan kertas kajian bersama. Itupun hanya sekali kerana pada ketika itu pelajar seliaan Dr. Nora memerlukan sedikit kepakaran saya. Mungkin selepas ini kami akan merancang untuk bekerjasama sekali," katanya.

Jelasnya, peluang yang dibuka oleh UPM menyebabkan masing-masing membina nama dalam bidang kepakaran mereka sehingga hari ini.

Menurutnya lagi, beliau membina identiti sebagai pakar kesihatan kuda di UPM selama hampir 20 tahun berjinak dan bermain bersama kuda.

"UPM merupakan sebuah universiti yang mempunyai reputasi yang baik bahkan kehebatan yang tersendiri dalam sesuatu bidang. Oleh itu, peluang yang diberikan ini harus diambil dengan baik dan UPM juga yang membantu untuk menaikkan nama kami dalam bidang kepakaran kami," katanya.

Dr. Nora pula berkata kepakaran UPM dalam bidang teknologi makanan menjadikan beliau selesa mengembangkan penyelidikan dalam bidang tersebut di universiti ini.

"UPM merupakan sebuah universiti yang sentiasa berada di hadapan dalam bidang teknologi makanan. Saya rasa rugi sekiranya meninggalkan UPM dan kita juga sentiasa membina nama meraih kemenangan dalam pertandingan penghasilan atau ciptaan makanan," katanya. -UPM

SXEbXA~