| Universiti Putra Malaysia

“Jangan pergi nurseri tanpa pengetahuan”- Pakar Landskap UPM

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 26 Mei - Memiliki taman mini atau landskap di rumah sudah semestinya akan memberi keindahan pada kediaman masing-masing.

Pensyarah Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya LAr. Dr. Nor Atiah Ismail menasihatkan orang ramai agar mempunyai ilmu sebelum membeli pokok di nurseri sebagai hiasan dalaman rumah.

“Sebelum ke nurseri kita perlu ada ilmu pengetahuan serta perlu melihat saiz ruang taman rumah serta ruang dalaman rumah kerana landskap luar dan dalam mempunyai sinergi.

“Kita juga perlu mengenal pasti pokok-pokok tertentu yang tidak sesuai dengan keadaan kesihatan anak-anak mahupun suami,” katanya.

Prof. Madya LAr. Dr. Nor Atiah berkata lazimnya, pokok buluh tidak sesuai untuk ditanam di dalam rumah sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidap penyakit asma dan elakkan untuk meletakkannya di tepi bilik tidur mahupun ruang tamu.

“Pastikan pokok mempunyai ruang tersendiri kerana pokok ini akan membesar dan bercambah. Jadi kita perlu keluarkannya dan letak atau tanam di tempat lain.

“Motivasi untuk kita bercucuk tanam ialah kongsikan anak pokok dengan jiran kerana itulah perkongsian ilmu dan perkongsian kasih sayang dengan jiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada temu bual rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1 di sini hari ini.

Mengulas berkenaan pemilihan baja yang sesuai untuk tanaman dalam rumah, beliau berkata penggunaan baja organik adalah paling selamat digunakan.

“Gunakan bahan harian seperti cengkerang telur, kulit bawang, kulit pisang dan air beras sebagai baja. Daripada kita buang dalam tong sampah letakkan pada pokok atau kita komposkan menjadi baja organik,” katanya.- UPM.

SXFCNA~