WAZAN Keluar RM20 Ribu Bantu 400 Pelajar UPM Pulang Beraya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » WAZAN keluar RM20 ribu bantu 400 pelajar UPM pulang beraya

WAZAN keluar RM20 ribu bantu 400 pelajar UPM pulang beraya


SERDANG, 25 Mei - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan peruntukan RM20 ribu bagi menaja sembilan bas untuk membawa pulang 400 orang pelajar asnaf UPM secara percuma ke kampung halaman masing-masing ke seluruh semenanjung.

Program khas yang diberi nama JOM BALIK RAYA bersama WAZAN menyaksikan pelepasan konvoi sembilan bas oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pada jam 9.00 pagi di sini.

"Saya bagi pihak universiti mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman kepada pelajar-pelahar untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang. Semoga perjalanan ini dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi masing-masing" katanya.

Turut hadir sama ialah Pengarah WAZAN UPM, Dr. Hj. Razali Othman,  Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim dan Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM, Ustaz Nuruliman Ibrahim.

Seorang pelajar  Muhammad Faiz berkata program tersebut sangat baik dan patut diadakan pada setiap tahun menjelang akhir Ramadan.

“Saya rasa terharu kerana pelbagai bantuan kewangan disediakan oleh WAZAN UPM untuk pelajar yang kurang kemampuan, khususnya dalam kalangan asnaf, “ katanya yang akan pulang ke Sungai Petani.

Wan Noratikah, pelajar yang akan pulang ke Pasir Mas berkata program itu membantu bagi meringankan kos pengangkutan ramai pelajar selain memudahkan urusan perjalanan masing-masing.

Tarikh Input: 11/07/2019 | Kemaskini: 11/07/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568851099