| Universiti Putra Malaysia

UPMKB bantu Sarawak kumpul khazanah belum diteroka menerusi Kursi Tok Nan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Haron
 
 
BINTULU, 31 Oktober - Penduduk Bumi Kenyalang sudah pastinya tidak asing dengan nama Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau lebih mesra dengan gelaran Tok Nan yang begitu lantang memperjuangkan hak Sarawak.
 
Berikutan itu, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Sarawak (UPMKB) tampil dengan menubuhkan Kursi Pehin Sri Adenan Satem (Kursi Tok Nan) bagi membuat penyelidikan dan mengumpul khazanah etnik Borneo yang masih belum diteroka.
 
Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS) UPMKB, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman berkata penubuhan Kursi Tok Nan ditempatkan di bawah Pusat Penyelidikan Etnik Borneo FKPS oleh sebagai pusat penyelidikan kumpulan etnik Borneo di Sarawak.
 
 
"Sepanjang tertubuhnya Kursi Tok Nan ini, tumpuannya adalah untuk menghimpunkan kumpulan etnik minoriti Sarawak yang sebelum ini jarang di dengar dan diketahui umum.
 
"Antaranya sebelum ini hanya terdapat 27 kumpulan etnik sahaja yang didaftarkan di dalam buku perangkaan negeri Sarawak. Namun pada bulan Februari 2022, jumlah etniknya telah ditambah kepada 31 dengan penambahan kepada empat etnik minoriti baharu dan masih diteruskan kajian penemuan etnik ini," katanya.
 
Selain itu, penyelidikan Kursi Tok Nan ini telah menemui dua perayaan baharu yang diraikan oleh etnik minoriti yang dapat diangkat sebagai produk pelancongan seperti etnik Kayan dengan ‘Pesta Doh Ladoh’ dan Pesta Ira Aco bagi masyarakat Lun Bawang yang merupakan pecahan etnik Kelabit-Murut.
 
Menurutnya lagi, kesemua bentuk-bentuk perayaan ini didokumentasikan dan akan di simpan di Gelari Tok Nan untuk dikongsi kepada umum.
 
"Bentuk-bentuk hasil penyelidikan seperti jurnal dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu telah dihasil bagi pemahaman generasi akan datang tentang sesuatu etnik minoriti itu," katanya. - UPM.

SXEbLAr~