UPM Universiti Tertinggi Negara Melonjak Dalam Ranking Universiti Times Higher Education Asia | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM universiti tertinggi negara melonjak dalam ranking universiti Times Higher Education Asia

UPM universiti tertinggi negara melonjak dalam ranking universiti Times Higher Education Asia

 

SERDANG - Universiti Putra Malaysia (UPM) membuat lonjakan tertinggi antara semua universiti dalam negara iaitu sebanyak 43 tangga dalam THE Asia University Rankings 2020. Pencapian ini meletakkan UPM pada kedudukan 145 universiti terbaik Asia berbanding 188 pada tahun lepas.

Penilaian THE Asia University Rankings ini mengambil kira lebih daripada 60% indikator kualiti penyelidikan dan penyelidikan berimpak berbanding penilaian ranking lain yang lebih tertumpu kepada kajian reputasi sesebuah universiti. Ini sekali gus mengiktiraf kedudukan UPM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang tersohor dan bereputasi antarabangsa.

Terdapat lima indikator utama dalam penilaian THE Asia University Rankings iaitu Teaching (25%), Research (30%), Citations (30%), International Outlook (7.5%) dan Industry Income (7.5%). UPM berjaya menduduki tangga teratas dalam negara bagi indikator Research yang merangkumi jumlah penerbitan, pendapatan hasil dari penyelidikan serta reputasi penyelidikan.

Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi dan kerjasama strategik semua warga UPM dengan sokongan kuat daripada pelbagai peringkat pekerja yang memberikan nilai organisasi yang kukuh ke atas kecemerlangan, kepelbagaian, kemampanan, dan integriti di UPM.

 

Pencapaian ini bukan saja dapat membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan UPM malah turut memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.

 

Sesungguhnya kejayaan ini meningkatkan lagi semangat UPM untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan dan memperkasa kekuatan dengan mengambil pendekatan yang lebih strategik untuk melonjakkan lagi prestasi keseluruhan pada mada hadapan. Kami akan terus melaksanakan usaha berstruktur untuk menanda aras amalan dan prestasi kami dengan universiti terbaik dunia.

Keputusan yang diumumkan pada 3 Jun 2020 itu menyaksikan 489 universiti daripada 30 buah negara di Asia tersenarai dalam THE Asia University Rankings 2020. - UPM

Tarikh Input: 13/07/2020 | Kemaskini: 13/07/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWNAg:13:35