UPM, Universitas Sumatera Utara Buka Jalan Eratkan Hubungan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM, Universitas Sumatera Utara buka jalan eratkan hubungan

UPM, Universitas Sumatera Utara buka jalan eratkan hubungan

Oleh Mohd Rezuan Aspar
Foto oleh Azreen Awang



SERDANG, 7 June (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universitas Sumatera Utara (USU) akan mengadakan pertukaran tenaga akademik dan penyelidikan setelah kedua-dua universiti itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk tujuan itu di sini hari ini.

Persefahaman itu telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan dan Timbalan Rektor USU (Perancangan dan Kerjasama), Prof Dr Ningrum Natasya Sirait.

Upacara itu disaksikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya  Dr Che Fauziah Ishak dan Dekan Fakulti Pertanian USU, Prof Dr Ir Darma Bakti.

Pakatan yang berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun itu adalah hasil daripada satu lawatan ke UPM oleh sekumpulan pensyarah dan pelajar USU pada 2011.

Ia juga merangkumi pertukaran idea dan amalan, termasuk penyelidikan bersama dan pembangunan kurikulum, pertukaran pelajar dan kerjasama dalam pengajian dan projek ekstensi  komuniti.



MoU dengan USU itu adalah pakatan ke-9 yang UPM jaringkan dengan universiti-universiti Indonesia.  Yang lain ialah Universitas Jember, Universitas Airlangga, institut Teknologi Bandung, Indonesian Institute of Sciences, Universitas Nasional, Universitas Indonesia, Yogyakarta State University dan Universitas Diponegoro.

Sempena dengan majlis itu, Prof Datuk Mohd Fauzi dan Prof Dr Ningrum Natasya melancarkan sebuah buku berjudul “Pengembangan Agribisnis di Malaysia dan Indonesia”  yang diterbitkan oleh kedua-dua universiti itu.

 Buku tersebut mengandungi 20 bab yang ditulis bersama oleh penyelidik dari  Fakulti Pertanian kedua-dua universiti itu, hasil daripada satu konferensi mereka bertema “Seminar Bersama Magister Agribisnis: Kerjasama Perguruan Tinggi, Pemerintah dan Dunia Usaha dalam Pengembangan Agribisnis” telah diadakan pada 22 September 2012 di Medan, Indonesia.

Seminar tersebut adalah lanjutan daripada satu lawatan pegawai akademik dan pelajar daripada Universitas Sumatera Utara ke Fakulti Pertanian, UPM dalam tahun 2011.

Antara lain, buku meliputi kes dan penyelidikan tentang agribisnis di kedua-dua negara yang merangkumi pengeluaran pelbagai hasil pertanian, termasuklah pengeluaran padi, ubi kentang, nenas, kayumanis, udang, ikan, minyak sawit, madu, daging lembu, produk berasaskan herba dan isu-isu berkaitan pengurusan rantaian bekalan, perusahaan kecil dan sederhana, juga perdagangan antarabangsa. -- UPM

-- mrma/kgo/kam  



Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569049470