UPM - SIAZ Holding Berhad Meterai MoU EPC Jimat Elektrik RM1.3 Juta | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM - SIAZ Holding Berhad meterai MoU EPC jimat elektrik RM1.3 juta

UPM - SIAZ Holding Berhad meterai MoU EPC jimat elektrik RM1.3 juta

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang

 



KUALA LUMPUR, 10 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan SIAZ Holding Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) untuk menjimatkan kos tenaga elektrik sebanyak 30 peratus atau RM1.3 juta setahun.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata EPC itu akan dilaksanakan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) memandangkan fakulti itu menggunakan jumlah tenaga elektrik yang tinggi.

“UPM telah mengambil langkah pro aktif dalam melaksanakan inisiatif penjimatan dan kecekapan tenaga dengan jangkaan tarif eletrik akan meningkat pada masa hadapan.

“Justeru, ia dapat menjimatkan perbelanjaan UPM dan peruntukan itu dapat digunakan untuk tujuan lain yang lebih mendesak.



“Pelaksanaan penjimatan tenaga melalui EPC meletakkan UPM dalam keadaan selesa memandangkan kos pelaksanaan akan ditanggung oleh pihak syarikat,” katanya.

Beliau berkata UPM turut merancang untuk melaksanakan EPC di seluruh kampus selepas menilai keberkesanan pelaksanaan berdasarkan purata bil elektrik FPSK ialah RM380,000 sebulan.

“Kami berharap kerjasama ini mampu menjimatkan sehingga RM1.3 juta setahun,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIAZ Holding, Asrul Muniff Azizan berkata audit tenaga telah dijalankan dan laporan interim hasil audit tersebut sudah dibentangkan kepada pihak UPM. 

“Segala kos pelaksanaan EPC akan ditanggung oleh kami dan jika tiada penjimatan maka syarikat tidak akan mendapat bayaran daripada UPM.

“Malah, jika bil elektrik meningkat selepas pelaksanaan, syarikat pula akan membayar perbezaan kepada UPM,” katanya.

Pada majlis itu, UPM diwakili Prof. Dato Mohd Fauzi manakala SIAZ Holding Berhad oleh Asrul Muniff sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee  -UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566074904