| Universiti Putra Malaysia

UPM, MBI jalin kerjasama kepakaran dalam pembangunan Pelan Induk Landskap Ipoh 2023-2035

Oleh: Noor Eszereen Juferi

IPOH, 12 Mac – Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalinkan kerjasama kepakaran dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membangunkan Pelan Induk Landskap Ipoh 2023-2035.

Dekan FRSB, UPM, Prof. Madya LAr. Dr. Suhardi Maulan berkata pelan itu projek itu akan difokuskan kepada lima kawasan di Perak iaitu di Pusat Bandar Ipoh, Persisiran Sungai Kinta, Gunung Rapat, Gugusan Kampung Manjoi dan Gunung Lang.

“Pihak MBI telah melantik pasukan kepakaran dari FRSB untuk menganalisis serta merancang pelan induk landskap tersebut berdasarkan keperluan semasa masyarakat serta kekuatan persekitaran sedia ada yang terdapat di Ipoh.

“Perlaksanaan kerjasama ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa tenaga pengajar program seni bina landskap di UPM mempunyai kepakaran khusus yang diiktiraf sejajar dengan keperluan industri,” katanya.

Projek itu bermula pada pada Jun 2022 dan dijangkakan siap pada April 2023 turut disertai oleh beberapa pakar lain dari FRSB, UPM iaitu LAr. Dr. Shamsul Abu Bakar, Prof. Madya LAr. Dr. Nor Atiah Ismail dan LAr. Mohd Nazri Saidon. Selain itu, projek itu juga turut memberi peluang pendedahan profesional kepada pelajar FRSB, UPM.

Pengarah Teknikal Projek Pelan Induk Landskap Ipoh, LAr. Dr. Shamsul Abu Bakar berkata, berdasarkan analisa yang dijalankan, setiap kawasan yang terlibat didapati mempunyai kekuatan, keperluan serta keunikan yang tersendiri dan setiap cadangan pembangunan yang diketengahkan perlu mempunyai asas yang kukuh agar ianya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat.

“Sebagai contoh, kami telah mencadangkan konsep ‘Koridor Kehidupan Ipoh’ bagi kawasan persisiran Sungai Kinta di mana ianya menitikberatkan kepentingan ekologi atau pembangunan landskap mampan melalui penggunaan ruang yang optimum serta pada masa yang sama memberi penekanan terhadap kepentingan warisan sedia ada.

“Kami berharap tempat ini akan menjadi kawasan yang lebih aktif untuk penduduk setempat di masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, penekanan warisan diambil kira kerana Ipoh adalah bandar raya yang kaya dengan sejarah serta mempunyai identiti yang tersendiri di samping keunikan persekitaran semula jadinya yang dipengaruhi dengan formasi bukit batu kapur.

“Jadi disebabkan itu kita melihat kepentingan terhadap keseimbangan antara keperluan menyuntik nilai semula jadi bersama-sama nilai warisan dan budaya dalam reka bentuk landskap di kawasan persisiran Sungai Kinta,” katanya.

Selain itu, pembangunan pelan induk landskap Bandaraya Ipoh ini juga turut diberikan pembaharuan dengan memberikan penekanan terhadap kepentingan nilai tunjang seperti Kehijauan, Kebolehsampaian, Keteramkuman, Menyeronokkan dan Diingati.

Nilai tunjang ini akan menjadi asas rujukan bagi memastikan pembangunan yang dicadangkan pada masa hadapan tidak akan tergelincir dari visi dan misinya. - UPM

WXEbKAi~