UPM Latih 67 Siswazah Dari Seluruh Negara Jadi Usahawan Bidang Pertanian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM latih 67 siswazah dari seluruh negara jadi usahawan bidang pertanian

UPM latih 67 siswazah dari seluruh negara jadi usahawan bidang pertanian

Oleh Noor Eszereen Juferi


PUCHONG, 8 Feb (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melatih 67 siswazah institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia untuk menjadi usahawan pertanian dalam satu program khas yang digelarkan Inkubasi Usahawantani 2014 di sini.

Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata sebelum itu,  program tersebut berjaya melahirkan 46 usahawan muda di kalangan graduan dalam tempoh dua tahun yang lalu dan sebanyak 26 buah syarikat telah ditubuhkan sejak program ini dilancarkan pada dua musim lalu.

 “Saya percaya kesemua usahawan yang telah melaksanakan projek di luar akan terus menumpukan usaha menambah bekalan makanan di dalam Malaysia dan seterusnya untuk di eksport,” katanya pada majlis pelancaran program Inkubasi Usahawantani 2014 di Taman Pertanian Universiti, UPM.



Selain itu beliau menyarankan syarikat-syarikat yang ditubuhkan daripada program itu dapat mengambil bahagian dengan aktiviti untuk mengkomersialkan produk hasil penyelidikan pensyarah serta saintis UPM.

“Ini bukan sahaja memberi peluang perniagaan kepada  produk siswazah, malah produk UPM boleh menjana kekayaan serta membantu industri negara dalam menghasilkan bekalan makanan bermutu,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Moh Fauzi Ramlan berkata UPM peka dengan usaha pelaksanaan projek-projek pertanian dan memberi latihan secara hands on kepada individu yang berminat mempelajari bidang pertanian.

“UPM akan terus menjadikan program Inkubasi Usahawantani sebagai satu model kepada IPTA yang lain sebagai usaha untuk melahirkan graduan yang mempunyai atribut usahawan yang berwibawa,” katanya.



Sementara itu, program enam bulan bagi satu musim ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan dijalankan di UPM.

Peserta daripada graduan diploma dan ijazah tempatan dari institusi pengajian tinggi di Malaysia akan mengikuti lima modul program Inkubasi Usahawantani iaitu akuakultur (ikan tilapia), tanaman rock melon, ternakan ayam kampung kacukan, perkhidmatan makanan dan eko pelancongan.  – UPM

--nej/kgo


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569254604