UPM-Farm Fresh Bangunkan Pusat Kecermerlangan Industri Ladang Tenusu | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM-Farm Fresh bangunkan pusat kecermerlangan industri ladang tenusu

UPM-Farm Fresh bangunkan pusat kecermerlangan industri ladang tenusu

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 20 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. menjalin kolaborasi membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) Ladang Tenusu di Ladang 16, Taman Pertanian Universiti, UPM.

Melalui kolaborasi itu, UPM-Farm Fresh akan membangunkan Agro Tourism Centre bagi memberi pendedahan kepada pelajar dalam industri tenusu serta menggalakkan generasi muda meminati bidang pertanian.

Pusat Edu Tourism itu akan turut menunjukkan cara pemprosesan, teknologi makanan serta pemasaran melalui kilang yang dibina di sini.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris berkata UPM berbangga dengan projek itu kerana dapat bekerjasama dengan syarikat pengeluar dan pembekal susu terbesar di Malaysia.

“Perkongsian bijak ini merupakan model kerjasama sektor awam khususnya universiti dengan pihak swasta yang membawa industri ke dalam kampus. Perkongsian projek ini penting bagi merancakkan lagi proses pembelajaran dan penyelidikan pelbagai aspek berkaitan tenusu,” katanya.

Beliau berkata, Ladang Tenusu ICOE itu akan dipakejkan sebagai satu projek agro-tourism.

“Melalui pakej ini pengunjung boleh merasai pengalaman berada di sebuah ladang tenusu serta menikmati elemen agritourism terutamanya aktiviti rekreasi seperti petting zoo dan menikmati pelbagai jenis makanan yang berasaskan susu dan ternakan,” katanya.

Ketua Pengarah Operasi, Farm Fresh Milk Sdn. Bhd., Azmi Zainal pula berkata dengan kerjasama itu Farm Fresh dapat memperkenalkan teknologi serta trend terkini dalam industri tenusu dan meningkatkan aktiviti penyelidikan dalam bidang penternakan tenusu dari aspek pengeluaran, pemprosesan dan penjenamaan, pengedaran dan jualan.

“Saya berharap dengan adanya Ladang Tenusu ICOE, ia akan menggalakkan generasi muda terutamanya di UPM untuk menyertai industri tenusu di masa depan dan ladang ini dijadikan sebagai tarikan utama selaras dengan inisiatif UPM,” katanya.

Melalui kerjasama itu, Farm Fresh juga membantu UPM melalui TPU dengan membina dan membaiki infrastruktur ladang serta membantu menyelenggara plot pastura UPM.

“Kami turut membantu TPU UPM mendapatkan makanan ternakan dengan harga yang lebih rendah. Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya nanti, nama UPM akan turut dicetak pada setiap bekas produk tenusu keluaran projek ICOE,” katanya.

 

Soft Launch Pusat Kecemerlangan Industri (Industry Centre of Excellence ICOE) Ladang Tenusu UPM-Fam Fresh itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah, UPM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan dihadiri oleh Pengarah TPU, UPM, Prof. Madya Dr. Yahya Awang.

 

Syarikat Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. yang bernaung di bawah syarikat induknya Holstein Milk Company Sdn. Bhd. memulakan projek ini pada 2017, dengan 130 lembu di UPM pada September 2019 dan sehingga November 2019 mempunyai 418 lembu. – UPM

 

 

 

Tarikh Input: 07/01/2020 | Kemaskini: 07/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJWEAv:04:28