| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Bengkel Lego Robotik 2023 didik kanak-kanak kenali bidang kejuruteraan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Zulfakhri Zulkifli

SERDANG, 1 Mac - Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melabuhkan tirai Bengkel Lego Robotik 2023 semalam dengan mendidik peserta muda khasnya murid sekolah rendah berkenaan dunia kejuruteraan yang telah bermula pada 20 Februari lepas.

Melalui bengkel ini, peserta cilik dapat mengasah bakat dan kreativiti masing-masing untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam industri teknologi.

Pengarah program, Muhammad Mustaqim Nurhady, pelajar tahun tiga Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, berkata bahawa bengkel ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa dan peserta.

"Bengkel ini merupakan anjuran Kelab K10 Innovators, Sekretariat Akademik (ACAEX) Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh UPM, Sesi 2022/2023, dan telah mendidik lebih daripada 100 peserta muda berusia tujuh hingga 16 tahun berkenaan dunia kejuruteraan bagi mendepani Industri Revolusi 5.0.

"Kami bercadang untuk meneruskan lagi program ini pada masa yang akan datang dan mungkin akan dijadikan sebagai program mingguan bagi meningkatkan lagi pengetahuan anak muda dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Di samping itu, program ini juga telah berjaya melatih 10 orang fasilitator dalam kalangan pelajar Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UPM untuk berkongsi ilmu secara kritis kepada peserta bahkan menyelesaikan masalah berkenaan sistem elektronik dan pengaturcaraan komputer selaras dengan perkembangan Internet of Things (IoT).

Antara aktiviti yang dilakukan sepanjang bengkel ini berlangsung adalah pembinaan Line Follower Robot, Obstacle Robot, Tug of War Robot dan Soccer Robot serta pengaturcaraan sistem menggunakan aplikasi Lego Digital Design dan Lego Mindstorm.

"Untuk sebarang hebahan poster dan promosi dari semasa ke semasa untuk bengkel robotik ini bolehlah melayari akaun Instagram @k10acaex atau @robotic.upm.," katanya. -UPM

SXEaTAP~