| Universiti Putra Malaysia

Sains Biologi Tidak Lagi Bosan Menerusi Program Let’s Listen To Nature 7.0 2023

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Dr. Nasrudin Subhi, Siti Khairunnisa Alias, Nur'Ain Sarah Ramli, Ain Nazira Nor Effendi, Azzarizal Al-Azri Saipul Bahri, Rabiatul Adawiyah Nor Hisham

HULU LANGAT Seramai 37 orang remaja berusia 13 hingga 19 tahun dari tiga kawasan Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Pantai Ria, PPR Kg. Muhibbah dan PPR Seri Pantai telah menyertai program Let’s Listen to Nature 7.0 (LLTN7.0) 2023 anjuran Kelab Mahasiswa Biologi (KMB), Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Program yang bertemakan “Cognizance Towards Nature with Community” bertujuan untuk memberikan kesedaran berkenaan alam semula jadi dan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaannya kepada para peserta golongan remaja B40.

Penasihat program yang juga merupakan pensyarah Kanan di Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir berkata program ini telah dapat meningkatkan kesedaran kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar khasnya dalam kalangan remaja di PPR tersebut.

“Selain itu, program ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang dapat menghubungkan mereka dengan alam sekitar dan komuniti setempat. Kita juga  mendedahkan kepada peserta bahawa sains itu tidak sukar dan tanpa sedar sebenarnya mereka ini setiap hari mengaplikasikan dunia sains dalam kehidupan mereka,” katanya.

Pengarah program, Siti Khairunnisa Alias berkata beliau bersyukur kerana program yang dirancang dan diusahakan selama beberapa bulan ini telah berjaya mencapai matlamat yang diharapkan dan dilaksanakan dengan baik.

“Saya berharap semua peserta dapat belajar, menyedari dan mengamalkan ilmu yang mereka peroleh dari program Let’s Listen to Nature 7.0 2023 dalam kehidupan seharian mereka untuk melindungi keindahan alam sekitar,” katanya.

Pada tahun ini, program menjadi lebih meriah dan menyeronokkan kerana pelaksanaan program dapat dilakukan di lapangan yang amat menepati objektif iaitu mendekatkan penganjur dan para peserta dengan alam sekitar serta galakan dan semangat kepada para peserta untuk meminati bidang sains biologi.  - UPM

SXFKHAn~