| Universiti Putra Malaysia

Reban ayam tertutup canggih, lengkap dengan sistem kawalan suhu

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Noor Azreen Awang

 

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) kini memiliki reban ayam tertutup serba canggih yang dilengkapi sistem kawalan suhu dan kelembapan serta sangkar tiga tingkat, yang boleh menampung kira-kira 7,500 ayam pedaging.

Dengan integrasi ternakan yang menggabungkan teknologi moden dalam infrastruktur, ayam boleh mencapai berat 2.4 kg dalam masa antara 32 dan 35 hari, berbanding antara 38 dan 42 hari sekiranya ternakan dilakukan secara terbuka.

Selain membekalkan ayam pedaging, reban ayam tertutup ini juga akan membolehkan penyelidik dan pelajar menjalani pelbagai penyelidikan yang berkaitan.

Reban ayam tertutup berukuran 62 x 12 meter yang membabitkan kos pembinaan RM750,000 ini, mempunyai empat penapis udara dan enam kipas besar bagi pengawalan aliran udara, suhu dan bau, serta penutup atau jaring (netting) bagi menghalang kemasukan lalat ke dalam reban.

Ketua Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr Loh Teck Chwen berkata, kawalan suhu dan kawalan kelembapan adalah penting bagi proses pembesaran ayam.

Beliau berkata, sistem kawalan suhu digerakkan secara separa-automatik, manakala ayam dimasukkan atau dikeluarkan daripada sangkar tiga tingkat itu menggunakan ‘roller’ yang bertindak menolak ayam-ayam berkenaan.

Reban ayam ini mempunyai keistimewaan iaitu jika suhu di dalam reban berubah kepada tinggi, kipas itu akan berfungsi secara automatik dan menyedut udara masuk ke dalam reban melalui ‘cooling pad’ yang mempunyai aliran air, dan ini akan menyejukkan udara yang melaluinya.

Dengan ini, suhu persekitaran di dalam reban akan menurun.

“Jika suhu dikawal antara 24 dan 28oCelsius, dan dengan kelembapan yang selesa, ayam akan mencapai berat 2.4 kg dalam masa antara 32 dan 35 hari.

“Semakin sejuk suhu, semakin elok untuk pembesaran ayam,” katanya.

Makanan ayam pula disalurkan ke sangkar tiga tingkat itu menggunakan saluran ‘piping’ dari silo yang terletak di satu bahagian di penghujung reban ayam itu.

Beliau juga berkata, bau yang dikawal juga dapat menghindarkan kehadiran lalat, dan lapisan jaring yang dipasang di kipas besar, akan menghalang kemungkinan kemasukan lalat.

Najis ayam itu pula katanya, akan dijadikan baja kompos bagi oleh Unit Organik, Fakulti Pertanian bagi mendatangkan pulangan kerana ia adalah ibarat ‘emas hitam.’

Prof. Dr. Loh berkata idea pembinaan bangunan reban ayam tertutup itu dicetuskan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris.

Pembinaannya dibiayai Malayan Flour Mills (MFM) Berhad, manakala fasiliti reban itu disediakan oleh AGCO GSI (M) Sdn Bhd.  MFM juga sudah menaja tiga pelajar Sains Haiwan UPM yang melanjutkan pengajian di Arkansas University, Amerika Syarikat bermula tahun lalu. - UPM

 

        

SXEaLAO~