| Universiti Putra Malaysia

PRODUK LILIN UNISCENT PELAJAR UPM MENANG TEMPAT KETIGA PERTANDINGAN NATIONAL MICRO ENTERPRISE PITCHING 2022

Oleh: Mazlina Ismail

MELAKA, 14 Mei – Produk lilin Unicent hasil produk dua pelajar tahun satu, Bacelor Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM, Mohamad Azeem Mohamad Isa dan Wilson Pang Khong You berjaya mendapat dua anugerah dalam Pertandingan National Micro Enterprise Pitching (NMEPC) 2022.

Mereka memperoleh tempat ketiga secara keseluruhan yang melibatkan 46 kumpulan penyertaan daripada pelajar Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti dan tempat pertama bagi kategori Teknologi dan Inovasi.

Mohamad Azeem Mohamad Isa dan Wilson Pang Khong You membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00, plak dan sijil yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Fazidah Mustafa.

Mohamad Azeem berkata ini merupakan pertandingan pertama beliau di peringkat nasional dan banyak produk yang hebat dipertandingkan oleh IPT lain.

“Saya sangat bersyukur kerana produk Uniscent berjaya mendapat tempat ketiga bagi keseluruhan produk dan melalui pertandingan ini saya banyak belajar daripada pihak industri dalam mengembangkan lagi produk dan perniagaan kami.,” katanya.

Penyertaan mereka dibimbing oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali sebagai mentor membawa produk lilin beraroma yang diperbuat daripada minyak masak kitar semula serta diinovasikan dengan menonjolkan aroma daripada buah tempatan iaitu buah rambutan selain aroma daripada pandan dan serai.

Pertandingan ini merupakan salah satu usaha pihak KPT membentuk pelajar yang holistik dan seimbang serta cenderung untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan serta melahirkan lebih banyak syarikat pemula (start-up) pelajar khususnya yang berasaskan teknologi dan inovasi. – UPM

WXEaHAp~