Peluang Pelajar UPM Jadi Usahawan PKS | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Peluang pelajar UPM jadi usahawan PKS

Peluang pelajar UPM jadi usahawan PKS

Oleh Stephanie Shallini
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 2 April (UPM) - Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berpeluang melibatkan diri dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui jalinan kerjasama antara UPM dengan SME Corp Malaysia dalam program SME- University Internship.

Timbalan Naib Canselor UPM (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata program ini merupakan satu platform yang baik untuk pelajar menimba ilmu pengetahuan mengenai keusahawanan dan perniagaan di dunia sebenar.

"Saya percaya program ini dapat meningkatkan kemahiran keusahawanan pelajar dan program ini juga mengikuti akreditasi Association of Advance Collegiate School of Business (AACSB).

"Pendekatan ini secara tidak langsung akan memupuk minat pelajar untuk menjadi seorang usahawan pada masa depan," katanya semasa melancarkan program SME-University Internship antara UPM dan SME Corp bagi edisi ke- 4 ini.


Sementara itu, Pengurus SME Corp, Murniyati Mokhtar berkata program SME- University Internship ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pelajar dan usahawan kerana pelajar akan dapat menimba pengalaman dan pendedahan yang diperlukan, semasa bekerja dengan pengusaha dan penasihat perniagaan dari SME Corp.

“Pada masa yang sama, syarikat-syarikat boleh meningkatkan prestasi mereka termasuk meningkatkan produktiviti mereka, dengan menggunakan strategi perniagaan yang berkesan melalui analisis dan cadangan yang dibuat oleh pelajar semasa program ini dijalankan selama empat bulan mereka,” katanya.

Program SME-University- Internship merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk menghubungkan syarikat PKS dengan universiti awam. Di bawah program ini, lima kumpulan pelajar daripada pelbagai fakulti di UPM akan bekerja untuk sebuah syarikat PKS, masing-masing dibimbing oleh tiga pensyarah UPM dan seorang penasihat perniagaan dari SME Corp.

Mereka akan bersaing antara satu sama lain dan juara akan mewakili UPM di peringkat universiti dalam program Internship SME-Universiti yang akan diadakan pada 22 Oktober 2013. Pelajar-pelajar yang terlibat adalah dari bidang seperti perakaunan, kejuruteraan, biosistems, pertanian, pentadbiran perniagaan, ekonomi, perkembangan manusia, perniagaan asas tani dan fizik.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Mohd Shahwahid Othman.

- Upm/ss/kgo


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569050509