| Universiti Putra Malaysia

Pelajar UPM, Shomy terima Anugerah Legacy sempena memperingati Princess Diana

LONDON, 26 Nov - Pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shomy Hasan Chowdhury dari Bangladesh yang juga aktivis air dan kebersihan telah menerima anugerah The Legacy Award sempena memperingati usaha mendiang Puteri Diana dalam kerja-kerja kemanusiaan oleh generasi muda.

Shomy menerima anugerah tersebut untuk kerja-kerja meningkatkan kesedaran kualiti air yang bersih dan isu kebersihan dengan menubuhkan organisasi ‘Awareness 360’ bersama pelajar UPM, Rijve Arefin di Bangladesh.

Abang kepada mendiang Puteri Diana, Earl Spencer telah menyampaikan anugerah berprestij tersebut kepada 20 pemenang dari seluruh dunia termasuk beliau yang memiliki sifat-sifat Puteri Diana iaitu kebaikan, belas kasihan dan perkhidmatan di Istana Kensington di London Award Ceremony.

Kesemua penerima juga turut bertemu dengan Duke of Cambridge, Putera William yang telah memberi justifikasi yang melayakkan mereka menerima anugerah tersebut.

Ketua Eksekutif Anugerah Diana, Tessy Ojo berkata anugerah sempena Puteri Diana itu meraikan generasi muda atas sumbangan mereka kepada masyarakat dan untuk membina sebuah generasi yang berdaya saing.

Shomy berkata memegang gelaran anugerah sempena Puteri Diana merupakan satu penghormatan yang besar dan beliau akan berusaha untuk meneruskan warisannya.

“Anugerah Legacy diperkenalkan pada tahun 2017 bagi meraikan Puteri Diana pada ulang tahun ke-20 kematiannya dan kepercayaannya bahawa golongan muda mempunyai kuasa untuk mengubah dunia.

“Penghormatan ini diadakan setiap dua tahun bagi meraikan pencapaian 20 generasi muda dari seluruh dunia. Mereka telah menunjukkan keupayaan mereka untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk berkhidmat kepada komuniti mereka seperti mendiang sendiri,” kata Shomy.

Selepas kehilangan ibunya akibat diarrhoea, Shomy mula memberi tumpuan bagi meningkatkan kesedaran kepada lebih 70,000 orang melalui WASH Talk selama tujuh tahun yang lalu dengan mengajar golongan masyarakat seperti pekerja seks, pekerja pembetungan, kanak-kanak sekolah kurang bernasib baik dan orang kurang upaya.

Pada tahun 2017, Shomy berucap dihadapan lebih 60,000 orang di Global Citizen Festival di New York kerana kerja-kerja yang telah dilakukannya memberi impak kepada masyarakat global. - UPM

 

SXEaVA5~