Malaysia Dipilih Anggotai Lembaga Pengarah Badan Dunia Keselamatan Jalan Raya | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Malaysia dipilih anggotai Lembaga Pengarah Badan Dunia Keselamatan Jalan Raya

Malaysia dipilih anggotai Lembaga Pengarah Badan Dunia Keselamatan Jalan Raya

KUALA LUMPUR, April 14 April  (Bernama) -- Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Kulanthayan KC Mani, telah dipilih sebagai ahli Lembaga Pengarah Perikatan Global Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bagi Keselamatan Jalan Raya.

Beliau dan wakli dari India adalah dua calon dipilih mengisi dua kekosongan ahli lembaga itu pada mesyuarat keenam lembaga itu yang berlangsung sempena perhimpunan agung badan dunia itu di Chania, Greece, semalam.

Sebanyak enam wakil iaitu dari Malaysia, India, Senegal. Brazil, Thailand dan Kanada dicalonkan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Kulanthayan berkata, tempoh khidmatnya dalam lembaga itu adalah selama empat tahun mulai 2019 hingga 2023.

“Ini adalah satu penghormatan kepada Malaysia yang buat pertama kali terpilih ke jawatan tinggi menduduki kerusi lembaga pengarah badan dunia oleh 225 wakil dari lebih 90 negara,” katanya.

Ditubuhkan pada 2012 dengan keahlian lebih 225 organisasi, pertubuhan itu mempunyai matlamat untuk memperkasakan NGO berkaitan ke arah kolabrasi advokasi, tindakan serta tanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya dan mangsa kemalangan.

Dalam ucapan penerimaan jawatan pada perhimpunan agung itu, Kulanthayan mengajak semua ahli bekerjasama ke arah menepati sasaran baharu Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3.6) iaitu penurunan 50 peratus angka kematian dan kecederaan menjelang 2030 selaras dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau juga turut menekankan kepentingan pengukuhan ilmu dan kemampuan dalam kalangan ahli serta menawarkan UPM sebagai institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pendidikan di peringkat siswazah (Sarjana dan Doktor Falsafah) dalam bidang penyelidikan keselamatan jalan raya. -- BERNAMA

Tarikh Input: 15/04/2019 | Kemaskini: 15/04/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566347748